Filem Nyonya Ronggeng terbitan ZLK Productions.

KUALA LUMPUR – Boleh dikira dengan jari syarikat produksi tempatan yang sanggup melabur wang ringgit semata-mata untuk menghasilkan naskah yang kualiti tinggi.

Penerbit filem Nyonya Ronggeng, ZLK Productions antara anak seni yang menunjukkan kesungguhannya dalam memartabatkan industri filem untuk membawa ke peringkat yang lebih tinggi.

Bayangkan bagi membina semula rumah agam berkonsepkan kaum Baba & Nyonya, ZLK Productions telah melaburkan sebanyak RM2.8 juta.

Banglo yang terletak di Jalan Inai, Bukit Bintang, Kuala Lumpur dibina bagi mewujudkan mood dekorasi kominuti yang melatari filem itu yang dijangka siap pada hujung bulan ini .

Penerbitnya, Datuk Seri Dr. K.C Lee berkata, banglo yang dianggap istimewa itu diharap dapat membuka mata masyarakat luar tentang kebudayaan masyarakat majmuk di negara ini.

Nyonya Ronggeng bakal diterajui Ying Li Tan (kiri) bersama aktor Steve Yap.

“Ketika ini, kerja-kerja pembinaan banglo masih dalam proses dan sudah 70 peratus siap. Selepas ini , barangan perabot antik yang akan diambil daripada pembekal dari Melaka dan Pulau Pinang bagi menampilkan ciri sebenar kaum Baba dan Nyonya.

“Selepas sesi penggambaran filem ini tamat, rumah yang digunakan ini akan dijadikan sebagai sebuah restoran yang akan menghidangkan kepelbagaian menu masakan masyarakat Baba & Nyonya selain sebagai salah satu tarikan untuk pelancong yang datang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pra pelancaran Nyonya Ronggeng di sini baru-baru ini.

Nonya Ronggeng yang menelan kos produksi secara keseluruhan sebanyak RM6 juta itu akan diarahkan oleh Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Filem bakal diterajui aktres, Ying Li Tan yang pernah memenangi gelaran Miss Malaysia Queen of Tourism 1996 bersama aktor Steve Yap.

Pada masa sama, Yi Ling juga merupakan penerbit bersama bagi filem itu.

Ketika, pihak produksi masih lagi menjalankan sesi ‘casting’ bagi mencari pelakon dari luar negara dari Jepun, China dan Thailand bagi melengkapkan jalan cerita filem ini dan bakal memulakan penggambaran pada September ini.

Datuk Seri Dr. K.C Lee

Filem Nyonya Ronggeng mengisahkan pengorbanan seoang wanita bernama Rose, keturunan Baba dan Nyonya yang ingin menumpang kasih sayang dari seorang jejaka.

Namun kehadirannya mendatangkan kebencian kepada ahli keluarga lelaki-lelaki yang dicintai, hanya kerana dia seorang penari ronggeng.

Kisah Rose bermula apabila ibu bapanya dibunuh dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai Sook Ching di Singapura, Rose yang masih kecil dijaga dan dibesarkan oleh seorang pemilik pentas ronggeng.

Perjalanan hidup Rose dipaparkan secara berkala, dengan latar belakang beberapa kejadian dari tahun 1942 hingga penghujung 1970-an seperti pembunuhan beramai-ramai Sook Ching, kemerdekaan Tanah Melayu 31 Ogos 1957 dan Tragedi 13 Mei 1969. – MalaysiaGazette