KUALA LUMPUR – Tindakan sesetengah puak dalam PKR yang mendesak Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin meletakkan jawatan adalah bermotifkan ‘mala fide’.

Ini kerana kumpulan tersebut cemburu dengan kejayaan dan ketokohan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sebagai seorang menteri Kabinet yang mempamerkan komitmen kerja yang tinggi.

Dengan itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida bersama 42 lagi ahli Majlis Pimpinan Pusat, Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti berkenaan menuntut supaya tindakan displin yang telah dimulakan terhadap Ahli Parlimen Ampang itu dihentikan serta-merta dan isu tersebut perlu diselesaikan secara baik.

“Tekanan dan gangguan terhadap beliau merupakan tindakan selektif, berat sebelah dan berprasangka buruk.

“Tindakan ini hanya ditujukan terhadap sesetengah anggota parti tanpa menghiraukan beberapa tindakan provokatif lain yang dilakukan oleh beberapa pimpinan dan anggota lain yang berterusan mengeluarkan kenyataan yang memecah belahkan parti.

“Kami dengan ini sebulat suara menggesa semua pihak untuk menghentikan segala tindakan yang menggugat perpaduan anggota dan cuba meremehkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti.

“Sekiranya tindakan ini tidak dihentikan, kami akan membincangkan tindakan selanjutnya berdasarkan prinsip- prinsip perjuangan PKR,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Kenyataan itu juga meminta Presiden dan barisan kepimpinan PKR untuk bertanggungjawab memainkan peranan dalam memberi fokus kepada usaha penyatuan dan perpaduan parti.

Tambahnya, suasana dalam parti berkenaan sudah tenang selepas Kongres Keadilan diadakan pada Disember tahun lepas malah Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden serta pimpinan biro politik kembali duduk semeja dalam mesyuarat Biro Politik pada 8 Januari lalu.

“Namun, kami, Ahli-Ahli MPP yang dipilih bersama Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri berasa kesal kerana terdapat usaha terancang untuk mengagalkan muafakat ini melalui tindakan-tindakan provokatif.

“Terbaharu, aksi demonstrasi yang tidak bertanggungjawab oleh beberapa pihak di hadapan ibu pejabat parti pada 18 Januari 2020 dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 21 Januari 2020 telah mencalar dan menjejaskan imej PKR serta kerajaan.

“Sementara itu, tindakan perlucutan 7 orang pimpinan AMK Pusat melalui surat bertarikh 15 Januari 2020 jelas menyalahi peraturan dan melanggar proses dalam parti.

“Tindakan ini juga mencabuli prinsip perlembagaan parti dan proses demokrasi kerana mereka merupakan pimpinan yang dipilih secara sah oleh akar umbi dalam pemilihan parti. Perlucutan mereka merupakan pengkhianatan kepada suara akar umbi dalam PKR,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Wan Azizah serah Jawatankuasa Disiplin PKR tentukan nasib Zuraida