Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JANUARI 2020

PETALING JAYA – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memastikan proses pemutihan diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemilihan dan persidangan parti boleh dijalankan.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, beliau tidak menolak masalah keahlian satu kelaziman dalam mana-mana parti dan ia perlu diatasi sebelum melaksanakan perhimpunan agung tahunan.

“Mana-mana pun, masa dalam parti lama saya pun, keahlian jadi masalah besar apatah lagi kepada parti kita baharu.

“Ini telah kita telah lanjutkan tarikh, kita akan semak balik senarai untuk tentukan masing-masing ada di dalam cawangan dan bahagian yang mereka tinggal.

“Di peringkat awal memang banyak aduan, macam-macam dan kita terus memantau tengok apa yang mereka tak berpuas hati dapat kita atasi sebelum kita adakan mesyuarat-mesyuarat agung,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengakui Bersatu berdepan dengan masalah keahlian di semua peringkat hingga menyebabkan penangguhan mesyuarat cawangan dan bahagian parti itu.

Dalam pada itu, Syed Hamid melihat proses pemutihan sebagaimana yang diarahkan Dr Mahathir itu kini berjalan dengan lancar dan tidak menimbulkan sebarang insiden buruk.

“Ini adalah sesuatu yang nampak sekarang, saya tak tengok lagi orang demonstrasi lagi,

“Alhamdulillah tujuan dan niat Tun untuk pemutihan berjalan dengan lancar dan telah dijalankan oleh pejabat Setiausaha Agung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast