Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa masing-masing Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu tidak pernah berbincang mengenai kemungkinan bekerjasama dengan Pas atau melantik menteri dalam kalangan ahli parti itu.

Syed Saddiq yang juga merupakan Ketua Armada Bersatu berkata, beliau sendiri tidak dengar apa-apa mengenai kerjasama antara Bersatu dan Pas.

“Saya tidak pernah mendengar apa-apa tentang kerjasama ini dan perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

“Ia juga tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,” katanya kepada Sinchew Daily.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengakui pernah bertemu dan makan bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dr. Mahathir mengakui perkara itu kepada media selepas tersebarnya satu gambar yang merakamkan beliau makan bersama pemimpin Pas.

Ditanya mengenai kemungkinan pembentukan kerjasama Bersatu-Pas, Dr. Mahathir berkata, beliau boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Jawapan itu meninggalkan teka-teki dan juga ruang untuk spekulasi. – MalaysiaGazette