Ashraf Mustaqim Badrul Munir

MENJENAMAKAN ketuanan Melayu adalah tanggungjawab fasa seterusnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Berkali-kali saya tekankan utamanya bagi sesiapa yang pernah mengikuti perkaderan NAKHODA di bawah Armada bahawa Pakatan Harapan (PH) melalui Bersatu utamanya, perlu menjadikan wadah perjuangan parti itu selaku keramat orang Melayu dan sebuah institusi dan bukannya sekadar ‘parti’ bagi orang Melayu dan bumiputera.

Sebuah institusi mereka yang pernah mengikuti latihan di NAKHODA seharusnya faham apa inti yang dimaksudkan sebagai institusi, sikap ataupun tingkah kita berbeza dari sekadar penglibatan bersama parti.

Tekad menjadikan Bersatu selaku institusi adalah demi memperkasakan kedudukan dan keberadaan orang Melayu supaya lebih bermaruah, maju daripada segi pemikiran dengan ilmu sebagai tunjang, berani jiwa untuk senantiasa di hadapan dalam menjadi contoh ikutan dan disegani oleh kaum-kaum lain dengan nilai-nilai Melayu yang sendinya Islam.

Bukan sekadar dipakai jenama Melayu dan Islam itu atas kepentingan politik melainkan memaknai nilai melalui tingkah perbuatan sepertimana pepatah Minang, “Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah.”

Inilah inti utama yang dizikirkan melalui NAKHODA agar dapat dimafhumkan dan digagaskan menyerap sebagai roh buat seluruh pejuang Armada.

Maka di sini saya singkapkan sedikit moga dapat tertiup semangat buat seluruh rakan-rakan Armada.

Apa erti penjenamaan semula Ketuanan Melayu?

Istilah Ketuanan Melayu mutakhir ini telah banyak disalah guna, disalah erti daripada segi semangat dan tingkah sehingga menampakkan bangsa Melayu seakan bangsa yang lemah sedang realitinya tidak.

Namun dek kerana terpahat istilah ketuanan Melayu itu dalam jiwa bani Melayu beberapa waktu yang naratifnya dipacu songsang oleh kebanyakan pemimpin Melayu yang berkepentingan maka kata ‘ketuanan’ itu telah dilihat jijik, tambah menyedihkan dirasai dan diabsahkan oleh sebilangan Melayu itu sendiri jika tidak sebilangan lainnya pula memaknai ‘ketuanan’ dalam mentaliti berbaur rasisme, maka pincanglah ia.

Ramai dalam kalangan pemimpin Melayu yang merosakkan takrifan ketuanan Melayu itu apabila menggunakannya untuk menakut-nakutkan orang Melayu atas keberadaan orang Melayu dalam persaingan sosial bersama kaum lain di Tanah Melayu ini sendiri, kononnya kita akan kehilangan ‘tongkat’!

Bagi mereka yang ‘tercerah’ pasti sedar, lagu ketakutan itu yang sering didendangkan dekad lalu lazimnya dijadikan bahan untuk mengekalkan kuasa semata!

Selain dari banyak pimpinan Melayu melakukan kecurangan, jauh sama sekali untuk memperkasakan kedudukan orang Melayu yang secara tidak langsung menutup peluang bagi anak-anak Melayu.

Malah dalam kalangan orang yang terlibat secara langsung dengan politik merasakan keterlibatan politik seharusnya membuat mereka lebih perlu dibantu atas perjuangan mereka, secara tidak langsung ini merupakan tanggapan yang salah.

Akhirnya konsep ‘ketuanan Melayu’ ini semakin hari dipersoal sedangkan tidak kira Melayu mahupun bumiputera dan kaum-kaum lain harus sedar bahawa kedudukan orang Melayu-bumiputera sememangnya terpelihara melalui Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipersoalkan sepertimana termaktub dalam Perkara 10 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Maka Bersatu khususnya Armada selaku wadah anak muda dalam langkah seterusnya ini perlu mendepani perjuangan memartabatkan orang Melayu.

Menjadi ejen pencerah ‘mencorak’ pemikiran anak bangsa dengan engan gerakan keilmuan selaku tunjang.

Pengalaman saya secara aktif dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sejak tahun 2010 dalam mengagaskan pemikiran anak bangsa atas kesedaran bahawa “Maju Mundur, Kaya Miskin dan Hina Mulianya Sesuatu Bangsa Itu Terletak Di Tangan Kami” (orang Melayu) itu sendiri menjadi azimat dalam langkah politik selama ini bersama Bersatu kerana saya sedar bahawa perubahan yang mendasar hanya dapat dilakukan melalui peranan politik.

Armada perlu berani mengorak naratif baharu memperkasa agenda ketuanan Melayu dengan lebih ‘progresif’ dalam mempertahankan segenap apa yang terpelihara menerusi Perlembagaan Persekutuan bukan menyalahgunakannya sebagai dinding yang melemahkan orang Melayu untuk berada dalam keadaan selesa melainkan menanam semangat dalam jiwa anak Melayu untuk bangkit membina mercu Melayu atas pemahaman dan memasak jatidiri tanpa digolok-gadai jati kemelayuan dimulakan dengan membangkitkan kesedaran menerusi sejarah bangsa dan negara, bila kita mengenal, maka citra untuk membangun bangsa akan terbina.

‘Ketahanan bangsa’ yang semakin luntur sehingga begitu banyak permasalahan sosial dalam kalangan anak Melayu-bumiputera terjadi kerana hilangnya jatidiri.

Maka seperti apa yang giat dilakukan saya dan beberapa rakan Armada dengan turun ke sekolah-sekolah dan program bersama mahasiswa sejak tiga tahun lalu demi citra membina jatidiri bangsa menerusi Armada perlu lebih ditingkatkan.

Armada sendiri perlu terlatih dan dilatih dalam segenap aspek, kerana itu sejak 2019, perkaderan NAKHODA pula terhasil dalam memperkasakan dahulu dan melatih kepimpinan muda Melayu menerusi Armada untuk lebih terampil dan tertanam roh perjuangan memperkasakan Bersatu selaku institusi Melayu.

Selain program Train Of Trainers (TOT) yang telah dijalankan sejak tahun 2017 untuk melatih fasilitator bagi turun padang menjadi ejen pencerah kepada perjuangan memartabat bangsa sejak di peringkat sekolah demi menanam jatidiri dan Ketahanan bangsa.

Diharapkan Armada akan lebih ramai terlibat dalam fasa seterusnya NAKHODA bermula Februari ini dan pohon kecaknaan semua.

Undi pada usia 18 tahun kelak akan banyak bersentimen soal pertembungan antara kaum namun sekiranya naratif membina bangsa Melayu atas ketakutan pada kaum lain, kelak pasti akan menghancurkan semangat integrasi dalam negara sekaligus akan merencatkan pembangunan sosio-ekonomi seluruh jagat Malaysia.

Maka membina semangat Mercu Melayu dalam hakikat bahawa bangsa Melayu sememangnya bangsa yang hebat, menelusuri sejarah dan menanamkan semangat melakar sejarah baharu untuk tidak sekadar bertongkat perlu giat dilaksanakan agar diakhirnya anak Melayu generasi baharu ini sedar bakti Armada yang memartabat Melayu di persada!

Bukan sekadar retorik kononnya memperkasakan Melayu namun mengkhianati agenda Melayu itu dengan menanam ketakutan dan memperbodohkan anak bangsa.

Kita wajib didik anak Melayu untuk menjadi generasi tercerah, turun padang dengan memotivasikan membina gagasan pemikiran anak bangsa adalah wajib bagi Armada dan secara meluas kerana itu pejuang Armada perlu sendirinya manambahbaik kebolehan diri dan rajin membaca.

Menggalakkan dan memacu diskusi atau forum-forum demi menyedarkan segenap anak Melayu untuk tidak malu mengaku Melayu (kerana ada sebilangan Melayu ‘urban’ sudah malu mengaku Melayu dek hilangnya jatidiri dan terpesona hanyut dalam arus globalisasi) melainkan bangga dalam membina kembali ketamadunan Melayu agar disegani setiap kaum serta dalam pada turut membantu meletakkan Melayu tersasar (Melayu berpotensi di kampung-kampung) untuk berada pada landasan Mercu Melayu untuk membantu anak Melayu yang lain!

Ayuh Armada, kekal Bersatu diakhirnya kita akan kehilangan ‘tongkat’ kerana sikap Melayu sendiri (bukan secara fizikal namun atas semangat dan roh Melayu) kerana kesan hilangnya nilai Melayu yang tidak mahu bersatu gemar berpecah-belah, emosi lemah tidak terpandu pertimbangan, dengan ilmu pengetahuan juga tersasar penilaian.

Kitalah kaum muda Armada yang bakal mengorak perubahan bangsa. Jadikan tiap semangat ini bukan sekadar kata-kata alam maya yang dipertontonkan, melainkan pembuktian realiti yang diterjemahkan membangun watan.

EXCO ARMADA, MOHD ASHRAF MUSTAQIM BIN BADRUL MUNIR.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast