KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk menghantar gabungan barisan pemain muda dan berpengalaman, ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020, di Rizal Memorial Coliseum, Manila, Filipina dari 11 hingga 16 Feb depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata penghantaran pemain muda ke kejohanan tersebut bertujuan memberikan mereka pendedahan berhadapan pemain terbaik dunia, disamping melayakkan diri secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020, yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 16 hingga 24 Mei.

“Kita berharap skuad muda ini bukan sahaja meraih pengalaman yang diperlukan, tetapi juga dapat menghadapi lawan yang sukar. Inilah peluang mereka menunjukkan kebolehan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BAM hari ini.

Cabaran skuad badminton negara itu ke kejohanan yang menjadi pusingan kelayakan ke Piala Thomas dan Uber itu akan diketuai Lee Zii Jia.

Pemain lain termasuklah pasangan beregu kebangsaan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, Eoon Qi Xuan dan Pearly Tan, disamping dua pemain muda, M Thinaah dan Ng Tze Yong yang membuat penampilan sulung mereka dalam kejohanan itu yang disertai 12 buah negara, bagi kategori lelaki dan wanita.

Undian kejohanan itu akan berlangsung di lokasi pertandingan pada 29 Jan ini.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan teratas daripada setiap empat kumpulan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita, akan layak ke peringkat suku akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah ketika meraih pingat gangsa bersama Korea Selatan bagi kategori berpasukan lelaki pada edisi 2018, di Alor Setar, Kedah.- BERNAMA