Sesi fotografi bersama penyanyi Khai Bahar pada Majlis Pelancaran Minyak Wangi 'Bayang oleh Khai Bahar' yang merupakan produk terbaharu RiSES Perfumes di Zebra Square, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Tuah menjadi milik penyanyi muda, Khai Bahar apabila akan membuat persembahan di pentas bertaraf antarabangsa, Istana Budaya pada 27 dan 28 Mac depan.

Dikenali Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia, Khai dilamar produksi Ogy Ventures milik pelakon dan pengarah terkenal Ogy Ahmad Daud untuk mengadakan persembahan itu.

Jejaka kelahiran Perlis itu akan menjalani latihan selama dua bulan bagi memberikan fokus sepenuhnya kepada konsert yang akan menyaksikannya menyampaikan 20 lagu.

Lahir pada 28 Februari 1994, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin itu mula mencipta nama selepas nyanyiannya melalui lagu Sudah Ku Tahu, nyanyian asal Projector Band, di aplikasi Smule tular.

Sepanjang tiga tahun pembabitannya di persada seni tempatan, Khai telah mendapat pelbagai anugerah, antaranya di Anugerah Planet Muzik 2017 di Singapura tahun lalu, di mana dia menang kategori Artis Paling Popular dan Lagu Paling Popular melalui Bayang.

Selain itu, Bayang yang merupakan single sulungnya berjaya mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32, manakala Luluh pada AJL ke-33. – MalaysiaGazette