Nuridah Mohd Salleh
Nuridah Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak wajar lepas tangan dalam isu pemandu mabuk yang melanggar orang awam sehingga menyebabkan kematian.

Walaupun peraturan menguatkuasa larangan minum arak di lokasi tertentu di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun kementerian itu mesti bertindak agresif mengambil langkah preventif seperti dilakukan ke atas perokok dan penghisap vape.

Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, persoalannya, adakah Kementerian Kesihatan mempunyai kehendak politik yang kuat untuk melaksanakan inisiatif tersebut?

Kata beliau, minum arak dan memandu dalam keadaan berbahaya sehingga mengorbankan nyawa orang awam yang tidak bersalah bukan isu melibatkan kaum tertentu, tetapi adalah pembelaan hak manusia paling asas iaitu hak untuk hidup.

“Jika Kementerian Kesihatan boleh melakukan kempen larangan merokok dan mengenakan denda terhadap perokok, mengapa tidak melakukan perkara yang sama terhadap pemandu mabuk?

“Kita menuntut Kementerian Kesihatan memobilisasi kempen besar-besaran bahaya arak di seluruh Malaysia.

“Kementerian juga boleh bekerjasama dengan PBT di setiap negeri untuk melarang penjualan arak secara berleluasa di kedai serbaneka,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Nuridah berkata, kesan buruk arak sangat besar terhadap individu peminum dan juga institusi keluarga serta masyarakat.

Malah, ujar beliau, kemalangan maut yang disebabkan pemandu mabuk sangat banyak dan perlu dibanteras secara besar-besaran. – MalaysiaGazette