Warga China yang masuk ke Pulau Pinang melalui Jeti Swettenham.

GEORGE TOWN, 26 Jan — Seramai 1,209 warga China yang masuk ke Pulau Pinang melalui Jeti Swettenham, di sini dengan sebuah kapal persiaran pada 6.15 pagi hari ini disahkan bebas 2019 novel koronavirus.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud berkata kesemua pelancong itu transit di negeri ini sebelum belayar ke destinasi seterusnya ke Phuket, Thailand pada jam 5 petang tadi.

“Semasa ketibaan mereka, petugas-petugas dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah membuat pemeriksaan dan saringan tahap kesihatan kesemua penumpang dan kru kapal sebanyak dua kali sebelum pemeriksaan dokumen oleh pihak imigresen.

“Tiada seorang (pelancong dari China) itu yang dikesan atau dirujuk oleh petugas JKNPP Jabatan Kesihatan kepada pihak kita (Imigresen). Ertinya, tiada yang disyaki pembawa virus berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Husni berkata kapal persiaran itu dalam perjalanan dari Singapura ke Pelabuhan Klang, Selangor sebelum singgah di Pulau Pinang dan meneruskan perjalanan ke Phuket,Thailand.

Sementara itu Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan kapal berkenaan adalah dari Singapura.

Yeoh berkata kapal itu hanya berlabuh di negeri ini selama tujuh jam sebelum meneruskan perjalanannya.

Dalam pada itu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut meminta semua pihak agar tidak menimbulkan suasana panik berhubung penularan gambar yang tular di media sosial berkenaan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast