Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pernah dikecam kerana membuat kenyataan peristiwa Lahad Datu adalah sandiwara.

KUALA LUMPUR- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Pelancong Bagi Menangani kesan Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi dalam satu kenyataan  hari ini berkata, jawatankuasa berkenaan berperanan untuk memberi khidmat nasihat dan penjelasan kepada semua pelancong dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan daripada dijangkiti virus tersebut semasa berada di Malaysia.

Jawatankuasa itu katanya turut berperanan untuk merancang dan merangka tindakan positif bagi mencari pasaran baharu bagi menggantikan sektor pelancongan khususnya dari China yang terjejas akibat serangan virus tersebut.

Tambahnya, kementerian akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pemain-pemain industri bagi memastikan sektor pelancongan negara tidak terjejas dan mampu beroperasi seperti biasa meskipun terdapat cabaran akibat penularan virus terbaharu itu di Malaysia.

Ini termasuk bersetuju untuk membenarkan syarikat-syarikat penerbangan membuat pemeriksaan terhadap semua penumpang yang menaiki pesawat.

Tegasnya, kerajaan Malaysia mengalu-alukan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan China yang menghalang penduduk Wilayah Wuhan, Wilayah Hebei dan kawasan sekitar melawat ke luar negara termasuk Malaysia dan juga membuat lawatan domestik bagi mengelak penularan wabak ini.

“Malaysia mempunyai pengalaman berhadapan dengan serangan wabak sebelum ini dan yakin akan berjaya menangani isu ini berdasarkan langkah-langkah drastik yang diambil dan memastikan setiap pelancong yang datang ke negara ini adalah dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit,” katanya.

MOTAC akan mengekalkan sasaran menarik 30 juta pelancong pada tahun ini walaupun berhadapan dengan serangan virus ini dan tidak bercadang untuk mengkaji semula, walaupun serangan virus ini sedikit sebanyak akan memberikan kesan negatif terhadap kehadiran pelancong.-MalaysiaGazette