Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah penumpang AirAsia X Bhd (AirAsia X) sepanjang tempoh suku keempat 2019 (4Q19) meningkat lapan peratus kepada 1.61 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Kapasiti tempat duduk meningkat empat peratus tahun ke tahun kepada 1.99 juta pada suku yang sama, namun kapasiti tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) hanya meningkat satu peratus kepada 9.21 juta susulan jarak perjalanan yang lebih pendek hasil daripada proses penyusunan semula rangkaian.

“AirAsia X Malaysia merekodkan faktor beban penumpang yang sihat (PLF) sebanyak 81 peratus pada 4Q19, tiga mata peratusan yang lebih tinggi berbanding PLF yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas,” menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya pada suku tahun terbabit, kekerapan penerbangan ke Bali, Taipei, Seoul, Perth, Sydney dan Gold Coast meningkat, terutama pada Disember, bagi menampung permintaan tinggi pada musim puncak akhir tahun.

AirAsia X Malaysia melancarkan dua laluan baharu pada November 2019: Kuala Lumpur-Singapura dilancarkan dengan kekerapan 14 kali seminggu manakala Kuala Lumpur-Tokyo (Narita) bermula sebagai tambahan kepada perkhidmatan Kuala Lumpur-Tokyo (Haneda) sedia ada.

Sehingga 31 Dis, 2019, AirAsia X Malaysia mempunyai kumpulan 24 pesawat A330s.

Berdasarkan prestasi setahun penuh, AirAsia X Malaysia mengangkut 6.07 juta penumpang, dua peratus lebih rendah tahun ke tahun, sejajar penurunan jumlah tempat duduk dan kapasiti ASK masing-masing sebanyak dua peratus dan tiga peratus, susulan proses mengoptimumkan rangkaian dan penyusunan semula laluan.

“Pada 2019, AirAsia X Malaysia memperkenal lima laluan baharu dari Kuala Lumpur: Fukuoka, Lanzhou, Taipei-Osaka, Tokyo (Narita) dan Singapura,” katanya.

Sementara itu, AirAsia X Thailand mengangkut sejumlah 2,599 juta penumpang pada 2019, meningkat 29 peratus tahun ke tahun, manakala kapasiti ASK meningkat 41 peratus kepada 14.47 juta, didorong oleh pengembangan kumpulan pesawat serta pembukaan laluan baharu dari Bangkok ke Brisbane, Shenyang, Tianjin dan Fukuoka, pada 2019.

AirAsia X Thailand menambah empat pesawat A330s sepanjang 2019, manakala jumlah keseluruhan pesawat AirAsia X Group sebanyak 39 Airbus A330s pada akhir Disember 2019, termasuk tujuh pesawat dengan pajakan pihak ketiga kepada AirAsia X Thailand dan dua pesawat yang dipajak kepada AirAsia X Indonesia. – MalaysiaGazette