Pemilik Ultimate FC, Mohamed Fitri Ahmad Ziyadi

KUALA LUMPUR- Kelab Liga M3, Ultimate FC yang bakal mendapat sentuhan bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan selaku ketua jurulatih berazam mahu mengulangi pencapaian musim lalu untuk mara sekali lagi ke pusingan kedua Piala FA.

Pemilik Ultimate FC, Mohamed Fitri Ahmad Ziyadi berharap melalui pengalaman sebelum ini akan menjadi motivasi tambahan buat majoriti pemainnya memberikan lebih 100 peratus pada saingan pusingan kelayakan Piala FA 2020.

“Sasaran kami sama macam tahun lepas iaitu mara sejauh mungkin atau sekurang-kurangnya ke peringkat pusingan kedua iaitu untuk berdepan dengan pasukan-pasukan dari Liga Super dan Liga Premier.

“Jika kami dapat bertemu dengan pasukan-pasukan ini, secara tidak langsung dapat memberikan pengalaman berharga kepada pemain-pemain untuk merasai saingan peringkat tertinggi.

“Kehadiran Azman juga saya harap sedikit sebanyak mampu memberi suntikan semangat kepada pasukan kerana semua orang tahu dia miliki nama yang cukup besar dan kita harap dia mampu beri perubahan drastik kepada pasukan, ” katanya.

Musim lalu, Ultimate FC berjaya melepasi saingan pusingan kelayakan selepas menewaskan Glory United 3-2 dan KSR Sains 2-1 di pusingan pertama namun tewas 0-5 kepada Terengganu FC di pusingan kedua.

Ultimate FC yang akan terus bersaing di Liga M3 turut dibantu seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Rudie Ramli selaku penolong jurulatih manakala beberapa pemain berpengalaman seperti Azlan Zainal, Nizam Abu Bakar dan Faizal Abu Bakar.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Kluang FA daripada Liga M4, Raja Abu Bakar pula tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam saingan Piala FA dengan mengharapkan mereka mampu melepasi pusingan kelayakan terlebih dahulu.

Sebagai pendatang baharu dalam saingan Piala FA musim ini, Raja memuji kesungguhan seluruh pasukan yang telah melakukan persiapan rapi selama hampir dua bulan dan berhasrat untuk melakukan kejutan ke atas lawan yang lebih berpengalaman.

“Pada kami, semua pasukan yang bakal berentap dalam pusingan kelayakan ini cukup hebat terutamanya pasukan yang telah layak ke Liga M3.

“Jadi, sebagai pendatang baharu dalam Piala FA, sudah pastinya kami berasa sangat teruja menjelang undian esok (Rabu) kerana ini merupakan pengalaman pertama untuk Kluang FA menyertai saingan berprestij ini.

“Sasaran kami pada tahun ini adalah cukup untuk melepasi pusingan kelayakan ini dahulu dan seandainya layak ke pusingan seterusnya merupakan satu bonus untuk pasukan”, jelasnya.

Undian pusingan kelayakan Piala FA akan berlangsung pada Rabu yang melibatkan 42 pasukan iaitu 20 dari Liga M3 manakala 22 lagi dari saingan Liga M4.

Pada kali ini, 12 slot bakal ditawarkan kepada pasukan amatur, pertambahan dua slot berbanding musim lalu berikutan hanya lapan pasukan sahaja dari Liga Premier bakal bersaing selepas kewujudan Selangor II dan Perak II selaku reserve team.

Berikut adalah senarai lengkap 42 pasukan amatur Liga M3 dan Liga M4 yang akan bersaing dalam pusingan kelayakan Piala FA 2020.

20 pasukan Liga M3

Armed ForcesFC, Thai Selangor FC, Ikram Muda FC, Melawati FC, Protap FC, Sarawak FA, Ultimate FC, Semarak FC, Kuala Lumpur Rovers, PIB FC, Klasiko FC, Harini FC, KSR Sains, Melaka United FC, Johor Bahru FA, KT Rovers FC, Northern Lions FC, Langkawi City FC dan Manjung City FC.

22 pasukan Liga M4

SA United FC, Isma FC, Staroba FC, Kuala Perlis FC, Red Spade FC, Kuatagh FC, Kluang FA, Kerteh FC, Gamestop FC, Delima Warriors FC, Nossa Bukit Jelutong FC, Pandan United FC, Markless ST, Imigresen FC, Kickers FC, Tun Razak City FC, Southern FC, Nor Farhan FC, Spirito FC, Andersonian FC, Kelab Bolasepak SSFC dan Real Chukai FC. – MalaysiaGazette