Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ahmad Jailani Muhamed Yunus bergambar kenangan bersama rakan strategik KPLB serta yang lain pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakan Strategik KPLB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 30 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi amaran akan menarik balik peluang yang disediakan sekiranya masih lagi terdapat golongan tertentu yang telah menyalahgunakannya, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, peluang seperti kontrak, lesen dan permit import (AP) yang diberikan tidak sepatutnya dijual kepada pihak ketiga untuk meraih keuntungan dengan pantas.

Jelas beliau, ini kerana selepas wang keuntungan itu habis dibelanjakan, golongan tersebut akhirnya akan kembali menjadi miskin seperti sebelumnya.

“Apabila mereka menerima kontrak umpamanya, mereka jual. Ada yang dapat AP atau lain-lain bantuan daripada kerajaan, mereka mencari jalan mudah dengan menjual peluang ini kepada pihak lain untuk mendapat keuntungan lebih awal.

“Apabila wang sudah habis dibelanja, jadi misikin macam dahulu. Jadi kini peluang pemberian AP akan digunakan secara tersusun dan tertib

“Kalau salah guna akan tarik balik macam kontrak, lesen dan AP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Dr Mahathir menegaskan, tindakan menyalahgunakan peluang kerajaan merupakan antara faktor yang menghalang kepada kejayaan dasar-dasar negara.

Faktor lain jelas beliau apabila kekurangan keinginan untuk merebut peluang yang disediakan kerajaan.

“Contohnya peluang belajar sudah tentu adalah nikmat mendapat ilmu selain peluang cara-cara memperbaiki kedudukan yang tidak mendapat sambutan kerana tidak mahu bekerja keras.

“Jadi dasar kerajaan tidak akan mendatangkan hasil. Kerajaan mahu menperkayakan golongan miskin di luar bandar dan sambutan yang diberikan adalah penting,” katanya. – MalaysiaGazette