KUALA LUMPUR – Cadangan perjanjian perdamaian untuk Israel dan palestin yang dikenali ‘Deal of the Century’ (Perjanjian abad ini) adalah berat sebelah yang digunakan untuk menjadikan Israel sebagai penceroboh yang memudaratkan Palestin dan penduduknya.
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), jelas cadangan tersebut tidak adil kepada warga Palestin dan ia hanya akan mengekalkan ketidakadilan yang dipanjangkan kepada mereka.
“Malaysia berpendirian bahawa pembentukan negeri Palestin yang merdeka menerusi penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra 1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin merupakan hanya penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Malaysia akan terus menyokong usaha kukuh dan jujur bagi mencari penyelesaian konflik Palestin-Israel berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan melalui rundingan yang membabitkan pihak-pihak terlibat.
Menurut kenyataan itu, Malaysia telah meneliti cadangan ‘Deal of the Century’ yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Doland Trump pada 28 Januari lalu.
Katanya, Malaysia mendapati cadangan tersebut tidak boleh diterima dan berpendirian Palestin mempunyai hak untuk menolaknya.
Tambah kenyataan itu, Palestin merupakan pihak yang tertakluk kepada pencerobohan yang dilakukan Israel dan mereka tidak pernah terlibat secara langsung atau terlibat dengan perundingan dalam merangka formula cadangan tersebut. – MalaysiaGazette