Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengembalikan semula Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikritik hebat beberapa persatuan bahasa.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan jelas membantah sekeras-kerasnya cadangan Dr Mahathir yang juga Pemangku Menteri Pendidikan untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Menurut presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, keputusan untuk melaksanakansemula  PPSMI bertentangan dengan aspirasi pendidikan nasional.

Malah katanya, pelaksanaan semula itu dilihat akan merosakkan tahap pendidikan anak bangsa, terutamanya pelajar luar bandar.

“Telah terbukti sebelum ini pencapaian dalam peperiksaan merudum dan banyak pembaziran berlaku apabila perbelanjaan untuk melaksanakan PPSMI tidak mendatangkan kebaikan.

“PPSMI telah pun berlalu pada 2002-2010, dan telah banyak meninggalkan kesan buruk  kepada tahap pencapaian para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Saleeh berkata, kajian yang dibuat oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2009 merekodkan kemerosotan sehingga 80 perstus di Sekolah Kebangsaan dan di Sekolah Menengah sehingga program ini dibatalkan pada 2010.

Oleh yang demikian, persatuan itu mendesak Perdana Menteri agar membatalkan hasrat tersebut atau berhadapan semula penentangan rakyat bagi menolak PPSMI sebelum ini.

“Sepatutnya Tun M menumpukan usaha pemulihan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, bukannya menambahkan kemarahan rakyat.

“Negara mungkin akan menghadapi gelombang huru-hara yang lebih hebat jika PPSMI dilaksanakan juga,” katanya lagi.

Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar), Ab Jalil Backer pula berkata apa-apa perubahan yang ingin dilakukan dalam sistem pendidikan negara haruslah berdasarkan kajian dan data bukan emosi dan ego mana-mana penguasa.

Katanya, kajian terhadap PPSMI telah membuktikan pelaksanaan itu telah gagal ketika kali pertama ia dilaksanakan.

“Tidak wajar Tun Mahathir secara semberono mengarahkan perubahan yang bertentangan dengan perancangan sedia ada.

“Pengenalan semula PPSMI juga dijangka memerlukan perbelanjaan berbilion ringgit,” katanya.

Ab Jalil juga berkata, negara sudah mempunyai Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan sepatutnya kekal kepada landasan itu.

“Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dibuat oleh pakar-pakar pendidikan bukannya mengikut nafsu politik mana-mana individu.

“Adalah lebih baik Kementerian Pendidikan memfokuskan kepada peningkatan kualiti infra pendidikan terutama dari segi ratio guru dan pelajar serta keperluan teknologi moden dalam pembelajaran,” bidas beliau.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) pula menggesa agar mantan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hujah-hujah pembatalan PPSMI kepada Dr Mahathir.

“Dewan Pemuda IKATAN Malaysia gusar akan ketidak-tentuan sistem pendidikan hari ini.

“Terlalu banyak pusingan-U dan dasar-dasar yang ditukar apabila bertukarnya seseorang Menteri Pendidikan. Seharusnya pendidikan anak-anak tidak dipolitikkan mengikut citarasa seseorang Menteri,” kata ketuanya, Shahir Adnan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast