Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berhubung perkembangan terkini koronavirus di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Sehingga kini tidak ada keperluan untuk menyekat semua penerbangan dari China dan ia akan dilakukan jika wujud keperluan mendesak, kata Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, pendirian tersebut kekal dan pihaknya akan memaklumkan jika perkara itu dinilai.

“Sehingga ke saat ini kita tidak ada memberi apa-apa sekatan. Bukan kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kata tapi kita nilai berdasarkan kepentingan kita dan perkembangan pada masa akan datang.

“Sebaik sahaja keperluan itu mendesak kita kita akan mengambil tindakan untuk membuat langkah-langkah seterusnya,” katanya  ketika sidang media harian perkembangan Koronavirus hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bahawa sekatan penerbangan sentiasa dalam kajian dan tindakan diambil mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semalam Sabah mengambil keputusan untuk menyekat sementara semua penerbangan dari China berkuat kuasa serta-merta sehingga tarikh diberitahu kelak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet negeri bermesyuarat semalam, sebagai langkah mengurangkan risiko mendedahkan orang awam dengan jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV).

Dzulkefly dalam pada itu turut mengesahkan tiada pertambahan kes positif koronavirus dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini.

“Sehingga 31 Januari 2020 jumlah kumulatif kes PUI (Patient Under Investigation) bagi nCov adalah 127 di mana 68 warganegara Malaysia, 56 warganegara China dan masing-masing satu dari Jordan, Brazil dan Thailand.

“Tiga kes darinya positif, 107 negatif dan 17 masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Kontak rapat kepada kes positif sebelum ini juga kekal 32 orang, lima daripadanya sahkan positif seperti sebelum ini, tambahnya.

Beliau berkata, kesemua lapan yang positif wabak ini dalam keadaan stabil. – MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.