Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai agar mengamalkan beberapa langkah dalam usaha mengoptimumkan penjimatan tenaga elektrik ketika berhadapan dengan cuaca kering dan panas yang dijangka berlarutan sehingga penghujung Mac ini.

Dalam satu kenyataan TNB memaklumkan, langkah penjimatan tenaga itu termasuklah ketika menggunakan alat pendingin hawa yang perlu sentiasa diselenggara.

Katanya, penapis pendingin perlu dibersihkan bagi memaksimumkan proses penyejukan selain mengelak daripada aliran udara terhalang akibat disekat habuk yang boleh mengurangkan kecekapan pendingin hawa itu.

“Sekiranya berhasrat membeli atau menukar pendingin hawa, pengguna dinasihatkan memilih saiz dan kapasiti (horsepower) yang tepat, bersesuaian dengan saiz ruang bilik.

“Label Kecekapan Tenaga (energy efficiency label) yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga juga perlu
digunakan sebagai panduan,” demikian menurut kenyataan itu.

TNB turut menyarakan langkah-langkah lain yang boleh diambil bagi menjimat penggunaan elektrik pada musim panas iaitu dengan mengurangkan penggunaan pengering pakaian dan mengambil kesempatan mengeringkan pakaian secara semulajadi menggunakan cuaca panas.

Selain itu, orang ramai juga boleh mengelakkan mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan perlu atau hanya perlu cucian menggunakan air bersuhu biasa (30 darjah Celcius) kerana ia sudah memadai serta menggunakan lampu LED.

Dalam pada itu, bagi pengguna yang ingin membeli peralatan elektrik baharu, mereka disaran memilih model
yang memiliki bilangan bintang paling tinggi pada Label Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency Label) kerana lebih banyak bintang, lebih cekap tenaga alat itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ada satu lagi dia tak sebut. pakai power solar disiang hari. sehingga habis bateri malamnya baru pakai kuasa tnb balik.

Comments are closed.