Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Pusat berpendirian langkah kerajaan Kelantan untuk membeli kereta mewah bagi kegunaan menteri besar dan exco tidak salah.

Menurut Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, kerajaan negeri itu menerusi Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob mencatatkan lebihan dalam bajet tahunan dan ia adalah bajet yang telah diluluskan sejak 2018 lagi.

“Tidak salah? Itu termaktub dan telah dipersetujui dalam mesyuarat tahun 2018.

“Keputusan untuk membuat penukaran kereta ini berlaku pada 2018, memang telah dinyatakan bahawa pertukaran kereta ini berlaku di zaman Datuk Seri Nik Abdul Aziz lagi. Bukannya baru sekarang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bulanan Pemuda Pas di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, hanya Mercedes-Benz sahaja yang dibenarkan untuk dipakai oleh kerajaan negeri dan ia termaktub kepada arahan daripada pihak istana.

“Di Kelantan, ini sahaja kereta yang dibenarkan. Kalau Menteri Besar dia pegang pengerusi kepada mana-mana GLC sekalipun mereka tidak dibenarkan untuk memakai kereta tersebut.

“Hanya Mercedes sahaja yang boleh digunakan dalam progam istana yang dimaklumkan kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Khairil Nizam turut mempertahankan kenyataannya bahawa dakwaan kereta mewah itu dibeli bukan pada harga RM700,000 sebuah.

Malah katanya, pemberian itu adalah pada harga diskaun yang diberikan kepada kerajaan negeri.

“Harga itu bukan harga sebenar. Harga yang diberikan adalah sebanyak RM328,000 untuk kereta Mercedes tersebut. Harga bagi kereta exco yang lain adalah RM200,000 sahaja. Bukannya harga RM600,000 seperti yang digembar-gemburkan,” katanya lagi.

Pada 24 Januari lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri menggunakan kereta jenis Mercedes-Benz sebagai kenderaan rasmi atas faktor keselamatan.

Beliau berkata penggunaan kenderaan rasmi untuk menteri besar itu telah dimulakan sejak era pentadbiran Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini, selain pembelian 14 buah kereta Mercedes Benz, ahli exco kerajaan negeri Kelantan juga diberikan ‘bonus’ sebanyak RM50,000 seorang. – MalaysiaGazette