BUTTERWORTH – Polis menahan tiga lelaki yang sedang leka membungkus dadah jenis syabu selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Sungai Dua, Sungai Lokan di sini dalam Ops Tapis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga penganggur yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 31 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 5.00 petang hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak dua minggu lepas, dan polis turut merampas 1,014g syabu bernilai RM51,000 dalam serbuan itu.
Katanya, polis turut merampas 1,014 g syabu dan 10 biji pil eramin 5 yang bernilai sekitar RM51,000 dalam serbuan itu, dan siasatan awal mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah itu daripada satu sindiket sebelum membungkusnya semula untuk dijual kepada pelanggan tetap di sekitar sini.
Beliau berkata, ujian kencing mendapati ketiga-tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mengedar dadah sejak tahun lepas itu positif dadah, dan ketiga-tiga mereka kini direman sehingga 7 Februari ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan sindiket yang membekalkan dadah kepada tiga lelaki berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu di Kota Kinabalu, Sabah, 46 individu ditahan dalam ‘Ops ice breaker’ yang dijalankan sejak Sabtu lepas sehingga semalam di Kampung Air, Sinsuran dan Inanam, yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah, ACP Habibi Majinji berkata, mereka yang ditahan berumur 13 hingga 50 tahun, dengan 17 daripada mereka adalah warga asing, dan polis turut merampas dadah jenis jenis syabu seberat 13.48 gram yang dianggarkan bernilai RM2,022 dalam operasi itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat yang dapat membantu usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat ke Hotline IPD di talian 088-529220 atau Facebook polis daerah Kota Kinabalu,” katanya. – Bernama