Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mencadangkan agar kerajaan mengekalkan pembelajaran dan pengajaran di sekolah dalam Bahasa Melayu hingga ke peringkat menengah.

Malah, kerajaan perlu memperkenalkan satu program intensif untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah agar penguasaan bahasa Inggeris terutama sekali dalam pembacaan dan penulisan dapat dicapai dengan baik, kata Presiden Berjasa, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz.

“Bahasa jiwa bangsa adalah satu ungkapan yang amat tepat. Identiti bangsa dan negara mesti dikekal dan dipertahankan.

“Malaysia mampu menjadi negara maju tanpa mengorbankan identiti kita dan tanpa mengagung-agungkan budaya orang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memangku tugas Menteri Pendidikan memperkenalkan semula pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Kedua-dua mata pelajaran itu berbeza dengan yang lain kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini dan bukan seperti Sejarah dan Geografi.

Subjek Sains dan Matematik Kebanyakannya datang ke negara ini melalui medium bahasa Inggeris dan atas sebab itu kita akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik, kata Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Badrulhisham berkata, PPSMI yang telah digantikan dengan program dwibahasa (DLP) pada tahun 2012, memberi pilihan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan meletakkan syarat-syarat tertentu. – MalaysiaGazette