Sebahagian anti penyokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melaungkan ‘undur Zuraida’ pada himpunan aman di Ibu Pejabat PKR Tropicana, Kota Damansara, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Sebilangan 85 bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) seluruh negara hari ini menggesa agar Lembaga Disiplin PKR agar bertindak tegas dalam isu tindakan disiplin terhadap naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin.

Kenyataan yang diketuai oleh bekas Ketua Setiausaha Pengelola dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa rata-ratanya mahu lembaga itu untuk bertindak without fear or favour.

“Cukup-cukuplah tolak ansur, budi bicara dan berhikmah. Parti ini telah melalui jalan perjuangan yang penuh ranjau dan berliku.

“Ujian lebih besar lagi apabila diberi kuasa dan pangkat amanah dari rakyat. Tika inilah Lembaga Disiplin perlu tegas tanpa ragu melindungi parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lembaga Disiplin PKR yang diketuai oleh Datuk Ahmad Kasim akan membuat keputusan berhubung status Zuraida selepas menerima suar tunjuk daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu pada 29 Januari lalu.

Zuraida yang diwakili Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad menghantar surat tunjuk sebab itu pada hari terakhir yang diberikan lembaga berkenaan.

Dalam pada itu, seramai 85 bekas pemimpin AMK itu turut mahu Lembaga Displin untuk tidak tunduk kepada mana-mana tekanan dalam menyiasat isu Zuraida.

“Kami juga menggesa Lembaga Disiplin dan kepimpinan parti untuk tidak tunduk dengan mana-mana ugutan dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan,” kata mereka lagi.

Zuraida berdepan tindakan dipecat daripada parti apabila diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Ia berhubung dakwaan Ahli Parlimen Ampang itu mengeluarkan ucapan berbaur fitnah pada majlis makan malam di sebuah hotel di ibu negara, 8 Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette