Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kekecohan pada program rapat umum Pemuda PPBM di Ulu Tiram Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din berkata individu itu ditahan lewat petang semalam di Johor Bahru.

Katanya, ini menjadikan jumlah suspek yang ditangkap setakat ini 3 orang, termasuk 2 lelaki yang ditahan pada Jumaat malam.

“Ketiga-tiga mereka ini berumur lingkungan 30-an dan perintah reman terhadap mereka akan dipohon dari mahkamah hari ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini, hari ini.

Kamarudin berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada semua suspek itu mempunyai kaitan dengan parti politik.

“Kita sedang mengenal pasti latar belakang mereka dan parti politik mereka sebelum ini dan yang sekarang.”

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar batasan undang-undang.

“Saya ingat ‘statement’ Ketua Polis Negara (Abdul Hamid Bador) mengenai perkara ini jelas supaya semua orang menghormati undang-undang, tidak ada sesiapa pun berada di luar batas undang-undang.”

Semalam, Hamid mengingatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan insiden itu dan menyebarkan sebarang maklumat tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial bagi mengelakkan ketidaktenteraman awam dalam negara.

Jumaat lalu, kira-kira 200 individu berbaju merah dan hitam mencetuskan kekecohan dengan mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan kepada Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan ahli sayap itu.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Dikepung gangster upahan, Syed Saddiq terpaksa lompat pagar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast