KUALA LUMPUR – Pemergian seorang tokoh wanita yang dikenali sebagai ‘wanita besi’ dalam kalangan rakyat di negara ini, Toh Puan Uma Sambathan memberi kesan sungguh mendalam.

Beliau merupakan isteri kepada mendiang bekas Menteri dan Presiden MIC, Tun VT Sambathan  telah menghembuskan nafas terakhirnya Jumaat lepas sekitar jam 1.30 tengah hari ketika usianya 90 tahun akibat sakit tua.

Menurut Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nandhini Jayaram (gambar bawah), beliau masih lagi terasa ‘kehangatan’ tangan mendiang memegangnya sambil memberikan kata-kata nasihat.

“Hakikatnya saya masih lagi hilang kata-kata. Pemergiannya seolah-olah tidak langsung tidak boleh dipercayai. Nasihat beliau masih lagi terniang-ngiang di telinga saya.

“Malah saya percaya rata-rata pemimpin di negara ini khasnya dalam kalangan masyarakat India tidak kira kerajaan pemerintah mahupun pembangkang bukan sahaja mengenali beliau sebaliknya juga telah banyak mendapatkan petunjuk, pandangan serta nasihat tidak berpaksi kepada mana-mana pihak.

“Sehingga saat akhir, beliau juga boleh dikatakan antara yang telah mendedikasikan dirinya untuk golongan wanita, golongan pekerja di negara ini malah sangat dalam ilmunya dalam dunia politik negara sehingga kini.

“Mendiang juga sangat mementingkan konsep muhibah, tidak kira kaum atau latarbelakang, itu antara pegangan kuat beliau. Padanya, kita semua adalah rakyat Malaysia yang duduk di bawah satu bumbung. Saya sukar untuk melupakan beliau mahupun legasi yang ditinggalkan itu.

“Kami dalam Wanita MIC ingin mengucapkan takziah kepada keluarga khasnya anak perempuan beliau, untuk kami mendiang adalah satu ikon yang sukar di cari ganti sehingga bila-bila. Terima kasih tidak terhingga kepada mendiang Toh Puan Uma Sambathan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Usha lagi, Toh Puan Uma adalah seorang yang berdedikasi dalam berkhidmat untuk negara dan rakyat, sama seperti suaminya dan harus dikenang sebegitu.

“Bagi kami dalam MIC pula, sumbangan beliau tidak berbelah bahagi. Kami akan terus mengenang dan merinduinya dalam apa jua perkara. Semoga rohnya sentiasa di cucuri rahmat. Om Namah Shivaya,” ujarnya beremosi.

Mendiang Uma sebenarnya merupakan seorang aktivis yang amat popular serta lantang sepanjang hayatnya.

Berlatarbelakangkan undang-undang, Uma mengabadikan dirinya dalam bersuara lantang dalam isu-isu berkaitan wanita di negara ini, malah merupakan salah seorang pengasas Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO).

Mendiang juga pernah menjawat jawatan Presiden NCWO.

Malah wanita ‘besi’ itu juga merupakan Pengerusi dan Pengarah Persatuan Koperasi Kewangan Tanah Negara (NLFC) dari 1980 hingga 1995.

Selepas itu, beliau dilantik menjadi Presiden NLFC selama setahun antara tahun 1995 dan tahun 1996.

VT Sambathan, yang memperjuangkan kemerdekaan bersama-sama Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock juga berkongsi sumbangan kerana berada di samping suaminya sehingga saat terakhir hampir lebih dua dekad lamanya.

Mayat Toh Puan Uma telah dibawa ke kampung halamannya di Sungai Siput, Perak bagi penghormatan terakhir semalam dan majlis pengebumianya pada pagi tadi.  – MalaysiaGazette

Isteri mendiang VT Sambathan, Toh Puan Uma meninggal dunia