PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan pembebasan pakar obstetrik dan ginekologi, Dr Ting Teck Chin atas pertuduhan menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang juga menantu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mendapatkan rawatan gigi pada 2016.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Hadhariah Syed Ismail menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Dr Ting.

Menurut Hakim Hamid, tindakan mendakwa pengamal perubatan profesional mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan adalah merupakan suatu penyalahgunaan (proses mahkamah) dan Hakim Mahkamah Sesyen itu secara bijak telah menghentikan penyalahgunaan itu, kata peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Dr Ting, ketika ditemui selepas prosiding mahkamah hari ini.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pihak pendakwaan selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai.

Beliau berkata, pihak pembelaan tidak perlu menjawab hujahan pihak pendakwaan.

Pada 10 Ogos 2018, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Dr Ting, 40, tanpa memerintahkannya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Dr Ting di akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas rayuan mereka ditolak di Mahkamah Tinggi pada 4 April tahun lepas.

Dr Ting didakwa menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, ketika melakukan rawatan gigi, di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Jalan Telawi, Bangsar Baru, di antara 6 petang dengan 9.05 malam, 1 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syed Alman, yang berkahwin dengan anak sulung Zahid, Datuk Nurulhidayah, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di klinik pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.

Dr Ting turut diwakili peguam Dev Kumaraendran dan Teh See Khoon. – Bernama