PENGKALAN CHEPA – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyerahkan sumbangan zakat berupa sebuah van jenazah bernilai RM153,663 kepada Masjid As-Salam Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan bagi memudahkan urusan pengebumian penduduk kariah berkenaan.

Van jenazah tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Induk Masjid As-Salam, Rosnazli Amin Pengkalan Chepa, Kelantan dalam satu majlis ringkas pada Jumaat lalu.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam telah bertapak dan berkembang maju di Kelantan sejak 36 tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, Bank Islam telah menyediakan
pelbagai jenis perkhidmatan penyelesaian kewangan patuh Syariah kepada masyarakat setempat, selain menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri.

“Hasil daripada kesejahteraan perniagaan Bank Islam, kami mengagihkan zakat perniagaan berjumlah kira-kira RM4.5 juta dalam tempoh 10 tahun lalu, khusus bagi pembangunan ummah di Kelantan.

“Sebagai sebuah bank yang mendahulukan kemakmuran untuk semua, Bank Islam sentiasa peka terhadap masyarakat khasnya golongan yang kurang bernasib baik dan menyumbang terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.

Tambah beliau, Bank Islam berusaha untuk menyediakan
produk dan perkhidmatan terbaik yang bukan sahaja memenuhi keperluan segenap lapisan pelanggan, tetapi juga menghasilkan nilai kepada semua pihak berkepentingan.

Selain van jenazah yang disumbangkan kepada Masjid As-Salam, Bank Islam juga akan menyerahkan sebuah van serbaguna kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Sabah untuk dimanfaatkan bagi kerja-kerja kebajikan dan sosial yang
dianjurkan.

Penyerahan van yang bernilai RM167,182 itu akan disempurnakan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette