KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mempertahankan kenyataan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengkritik dan membidas kumpulan G25.
Ketuanya, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kritikan terhadap kumpulan itu kerana pandangannya terhadap isu kebebasan beragama, penafian hukuman murtad dan mempertikaikan kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai melanggar perlembagaan adalah berasas.
Tindakan kumpulan G25 menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Presiden Pas adalah biadab kerana jelas mempertahankan pendirian yang menyeleweng, katanya.
“Walhal banyak kenyataan balas dari agamawan serta akademik yang membidas kenyataan mereka kerana boleh membawa kecelaruan kefahaman dan merosakkan pemikiran ummah.
“Bahayanya kumpulan G25 ini kerana mereka bercakap mengenai Islam, namun mereka sendiri mempertikaikan disebabkan terpengaruh dengan keraguan yang dicipta oleh pihak Barat dan orientalis.
“Lebih malang lagi, kumpulan G25 ini mendapatkan tempat di Malaysia untuk bergerak bebas, malah mudah mendapat liputan media yang mana secara tidak langsung mempromosikan pembawakan, pemikiran dan aktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Jumaat lalu, kumpulan bekas penjawat tinggi awam, G25 menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Abdul Hadi atas kenyataan terhadap mereka.
Abdul Hadi dalam satu kenyataan dua minggu lalu menyifatkan G25 sebagai kumpulan makhluk perosak, jahil dan bebal serta lebih bahaya daripada kumpulan militan Al-Maunah.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan G25 bertajuk Administration of Matters Pertaining Islam yang menyuarakan kritikan terhadap undang-undang Islam terhadap Muslim dengan mengatakan tindakan murtad misalnya adalah urusan seseorang dengan tuhan.
Nik Muhammad Zawawi menyarankan Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan ketetapan untuk umat Islam menjauhi pemikiran kumpulan G25 itu.
Ujar beliau, penegasan di peringkat hukum dan fatwa ke atas mereka adalah penting bagi membendung kerosakan kefahaman yang dibawa kumpulan itu. – MalaysiaGazette