Foto Instagram Yuna

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Yuna mendedahkan dia pernah diminta membuka hijab oleh segelintir pihak ketika di awal kemunculannya dalam dunia hiburan.

Ia diminta berbuat demikian jika berhasrat bernaung di bawah satu syarikat rakaman namun penyanyi bertaraf antarabangsa itu tidak mengendahkannya.

Perkara itu dikongsi Yuna menerusi entri di akaun Instagram miliknya.

“Saya pernah disuruh untuk membuka hijab jika saya mahu menandatangani satu label muzik ini, saya tidak mengikutinya, saya sedar betapa pentingnya menjadi diri sendiri.

“Kerap juga saya diminta berbuat demikian, ada juga yang menyuruh saya untuk mendedahkan bahu dan lutut, saya tidak menghiraukannya juga,” tulis Yuna.

Yuna turut memberitahu beberapa majalah fesyen tempatan ketika itu tidak mahu meletakkan wajahnya di muka hadapan.

“Apabila saya mula-mula bergelar penyanyi dan penulis lagu di Malaysia, beberapa majalah fesyen ketika itu tidak mahu memilih saya sebagai wajah muka hadapan.

“Sekarang, banyak perkara sudah berubah, saya gembira melihat wanita seperti saya di luar sana dan masyarakat dunia juga lebih menerima wanita seperti saya hari ini,” tambahnya.

Yuna mulai aktif di industri hiburan tempatan pada sekitar tahun 2006 dan berjaya membina populariti hingga ke peringkat antarabangsa sehingga kini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast