BEIJING – Pemimpin tertinggi China mengakui ‘kelemahan dan kekurangan’ maklum balas negara itu dalam menangani wabak koronavirus yang membawa maut.

Jawatankuasa Tetap Politburo yang dipengerusikan oleh Presiden Xi Jinping berkata, sistem pengurusan kecemasan kebangsaan perlu diperbaiki.

Katanya, China perlu belajar daripada ujian besar terhadap sistem tadbir urus negara ini.

“Sebagai tindak balas terhadap kekurangan dan kelemahan dalam menangani wabak ini, kita mesti memperbaiki sistem pengurusan kecemasan negara dan meningkatkan kebolehan dalam mengendalikan tugas-tugas yang penting dan berbahaya,” kata laporan agensi berita Xinhua.

Malah, tindakan keras terhadap pasaran hidupan liar, yang dipercayai punca kemunculan virus itu perlu ditangani dan pemantauan diperkukuhkan.

Setakat ini lebih 17,000 kes jangkitan koronavirus disahkan di China, dengan 361 kematian dan lebih daripada 150 kes jangkitan disahkan di negara lain, dengan satu kematian di Filipina.

Ini adalah angka terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Negara.

Bagaimanapun, televisyen China pada awal hari Selasa melaporkan jumlah baru kematian dari wilayah Hubei, pusat wabak itu meningkat kepada 64 kematian dan 2,345 kes jangkitan.

Jumlah kematian di China, tidak termasuk Hong Kong, kini melebihi jumlah kes Sindrom Pernafasan Akut Pernafasan Teruk (SARS) 2002-03 iaitu 349 orang.

Koronavirus baru menyebabkan jangkitan dan gejala pernafasan akut yang teruk biasanya bermula dengan demam, diikuti oleh batuk kering.

Wabak itu telah menjejaskan saham China ketika pasaran kewangan dibuka semula semalam selepas cuti panjang Tahun Baru Cina.

Indeks Komposit Shanghai ditutup hampir 8% lebih rendah, kejatuhan harian terbesar selama lebih dari empat tahun.

Menurut Xinhua, salah satu aspek yang perlu ditangani ialah menangani perdagangan haram hidupan liar yang seharusnya dilaksanakan dengan tegas.

Ia susulan satu kajian oleh pakar virologi China mengatakan kelawar mungkin menjadi sumber punca koronavirus.

Menurut jawatankuasa itu, semua pihak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tugas mereka dalam pencegahan wabak dan mereka yang gagal melaksanakannya akan dihukum. – MalaysiaGazette