Pemeriksaan suhu dibuat di pintu-pintu laluan pengangkutan di China bagi menangani penularan koronavirus. foto Agensi

SHANGHAI – China bersetuju untuk membenarkan pakar-pakar kesihatan Amerika Syarikat (AS) memasuki negara ini sebagai sebahagian daripada usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membantu menangani penularan koronavirus susulan bilangan kes dan kematian terus meningkat.

Di Hubei, terdapat 2,345 kes virus baru dan 64 lagi kematian, menjadikan jumlah kematian yang berkaitan dengan virus meningkat kepada menjadi 414 setakat semalam.

White House berkata, China telah menerima tawarannya untuk menerima pakar-pakar AS dalam misi WHO untuk mengkaji dan membantu memerangi virus yang muncul dari Wuhan, di wilayah Hubei.

Minggu lepas WHO mengisytiharkan virus seperti selsema itu sebagai kecemasan global memandangkan ia telah merebak ke 23 buah negara dan rantau lain.

Filipina melaporkan kematian koronavirus pertama di luar China.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia telah menghentikan penerbangan ke beberapa bahagian di China.

Semalam, China mendakwa AS mewujudkan kebimbangan apabila bertindak mengeluarkan warganya dan melaksanakan peraturan ketat perjalanan.

“Washington telah menyebabkan panik,” kata Menteri Luar China, Hua Chunying, sedangkan WHO telah menasihatkan agar tidak menyekat perdagangan dan perjalanan.

Namun, Pusat Kawalan Wabak Amerika Syarikat (CDC) mempertahankan tindakan yang diambil termasuk menyekat kemasukan pelancong asing yang telah melawat China dalam tempoh 14 hari.

“Kami membuat keputusan yang agresif terhadap ancaman yang belum pernah terjadi sebelum ini kerana ia berpotensi untuk memperlahankan wabak. Inilah teorinya di sini, “kata Nancy Messonnier, Pengarah Pusat Kebangsaan Imunisasi dan Penyakit Pernafasan Pusat CDC. – MalaysiaGazette