KUALA LUMPUR – Berita baik untuk para penggemar dan pengumpul setem di negara ini apabila Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan koleksi setem terbaharu berjudul Seni Khat Malaysia Siri 2.

Kumpulan pengumpul dan peminat setem boleh mendapatkan koleksi setem ini mulai esok di pejabat pos seluruh negara.

Dalam satu kenyataan media terbaharu, Pos Malaysia berkata, kaligrafi merupakan seni visual lama dan saluran komunikasi tertua yang masih digunakan secara meluas di dunia pada hari ini.

Malaysia, sebagai negara yang berbilang kaum dan budaya ini amat bertuah kerana dikurniakan pelbagai jenis kaligrafi moden dan klasik termasuk Jawi, Tamil dan Cina.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib berkata; “Pos Malaysia berasa bangga mengeluarkan siri ke-2 koleksi setem Seni Khat Malaysia dengan tiga rekaan setem yang memaparkan ciri seni khat Jawi, Tamil dan Cina yang bertemakan Keamanan, Kemakmuran dan Kebahagiaan.

“Ketiga-tiga reka bentuk ini dipersembahkan bersama bagi menonjolkan aspek-aspek berbilang budaya dan kaum yang dibanggakan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, Pos Malaysia akan menghasilkan sejumlah 800,000 keping setem dengan nilai 60 sen, 80 sen dan RM1 bagi koleksi berkenaan.

Pos Malaysia juga akan mengeluarkan Lembaran Mini (MS) khas yang menampilkan gabungan ketiga-tiga kaligrafi tersebut.

Hanya 30,000 salinan MS akan dihasilkan dan ia boleh didapati pada harga RM3.00 sehelai.

Bagi para pengumpul tegar, penerbitan itu dilengkapi dengan tanda pembatalan eksklusif dengan menggunakan alat kaligrafi reka bentuk yang melengkapkan nilai estetikan koleksi yang dibeli.

Sebanyak 30,000 salinan Sampul Surat Hari Pertama (FDC) boleh didapati pada harga 50 sen setiap satu manakala FDC bersama MS boleh didapati pada harga RM5.90 setiap satu.

Sebanyak, 1,800 folder juga dijual pada harga RM6.00 setiap satu. Set folder lengkap boleh dibeli pada harga RM39.40.

Setem dan produk filateli ini tersedia untuk pembelian di semua Pejabat Pos di seluruh negara, dan pembelian dalam talian di eziemall.com, di bawah pautan “Setem & Koleksi”.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai setem dan produk filateli lain, Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia boleh dihubungi di 03-2267 2267 (sambungan 2000) atau melalui e-mel di [email protected].

Ketahui perihal perkhidmatan, aktiviti dan perkembangan Pos Malaysia di pos.com.my, Facebook (facebook.com/PosMalaysiaBerhad) dan Instagram (instagram.com/pos4you).-MalaysiaGazette