Gambar arkib

KUALA LUMPUR- Prospek bagi sektor pembinaan dijangka terus lemah pada 2020 didorong oleh penurunan projek-projek infrastruktur awam yang dibiayai bon.

AmInvestment Bank dalam nota kajiannya itu merujuk kepada projek-projek pembinaan yang bertempoh melebihi 10 tahun bermula pada 2008 sehingga 2018 dan telah dibuktikan tidak berterusan.

Katanya, firma penyelidikan itu mungkin menaikkan taraf sektor pembinaan kepada neutral/kukuh sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi menerusi projek-projek awam bagi mengimbangi tekanan luaran.

Pandangan firma itu disahkan dengan tindakan mengejut Bank Negara menurunkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata peratusan pada Januari bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi.

“Meskipun kerajaan mungkin memperkenalkan pakej rangsangan bagi mengekang potensi kemerosotan ekonomi akibat koronavirus yang berpanjangan, kami percaya fokus mestilah diberikan kepada projek-projek kecil seperti pembinaan jalan raya, laluan pejalan kaki, jambatan, sekolah dan kemudahan awm yang memberi manfaat kepada syarikat-syarikat pembinaan kecil dan tidak tersenarai,” katanya.

Tambahnya, perbelanjaan infrastruktur awam pada 2020 akan memberi fokus kepada penyiapan projek sedia ada pada kos yang lebih rendah pada jangka masa yang lebih panjang.

Antara contoh-contoh projek berkenaan adalah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM44 bilion, MRT 2 (RM30.5 bilion), LRT 3 (RM16.6 bilion) dan Lebuh raya Pan Borneo, Sarawak (RM16.5 bilion).

AmInvestment juga percaya kerajaan tidak mahu menghidupkan semula projek-projek yang dibekukan ketika ini.

Bagaimanapun, ini tidak termasuk projek Sistem Transit Rapid Johor Bharu-Singapura (RTS JB-Singapura) yang bernilai RM3.6 bilion dan Lingkaran Sabah-Sarawak yang bernilai RM5.2 bilion.- MalaysiaGazette