Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan barisan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Kebiasaannya setiap kali selepas Majlis Tertinggi UMNO selesai bermesyuarat, satu sidang media akan diadakan bagi menjelaskan perkara-perkara penting yang dibincangkan oleh ahli-ahli MT.

Namun tidak pada hari ini. Selepas tiga jam menunggu, tiada sebarang sidang akhbar, malah beberapa ahli MT UMNO mengambil keputusan mengunci mulut daripada menjawab pertanyaan wartawan sebaik sahaja mereka keluar dari bilik mesyuarat.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hanya melemparkan senyuman kepada wartawan yang berkumpul di lobi Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sejak jam 3 petang.

Tindakan mengunci mulut itu menguatkan spekulasi mengenai perbincangan Pakatan Nasional memang menjadi agenda utama mesyuarat MT yang berlangsung selama empat jam.

Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengelak daripada berjumpa wartawan juga menguatkan spekulasi itu.

Pakatan Nasional mendapat bantahan majoriti ahli UMNO selepas didedahkan Datuk Lokman Noor Adam pada Rabu lalu.

Ahli MT itu yang tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Zahid bertindak mendedahkan rakaman suara Presiden itu yang bercakap mengenai kerjasama Muafakat Nasional dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.