Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan apabila para pelabur terus berhati-hati dengan keadaan tidak menentu global termasuk kesan penularan novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) dan pengumuman data ekonomi.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran ekuiti global nampaknya berada di persimpangan antara jangkaan pengumuman data positif dari Amerika Syarikat (AS) dan coronavirus.

Beliau merujuk kepada data Pekerjaan Pemprosesan Data Automatik (ADP) AS yang berada pada 291,000 pada Januari dan Institute for Supply Management Index bagi sektor pembuatan yang naik sedikit lebih daripada 50 mata pada Januari dan coronavirus yang dijangka menjejaskan ekonomi China dalam tempoh terdekat ini.

Mohd Afzanizam berkata, fasa pertama perjanjian perdagangan AS-China juga menjadi tumpuan apabila China merancang untuk mengurangkan separuh daripada tarif importnya ke atas barangan AS, manakala komitmen bank pusat China untuk menyuntik mudah tunai ke dalam sistem kewangan sepatutnya dapat melancarkan fungsi pasaran wang dan modal di negara itu.

China mengumumkan pada Khamis ia akan mengurangkan separuh daripada tarifnya ke atas import AS bernilai  US$75 bilion ketika ia bergelut menangani wabak koronavirus yang semakin menular.

Bermula minggu ini, China akan mengurangkan 10 peratus bagi beberapa barangan AS kepada lima peratus manakala barangan lain yang dikenakan levi 5.0 peratus akan dikurangkan kepada 2.5 peratus. Penurunan itu melibatkan barangan AS yang dikenakan tarif oleh China pada September tahun lepas.

Di dalam negara, katanya, pada minggu depan semua tumpuan akan terarah kepada keputusan keluaran dalam negara kasar suku keempat 2019 yang akan diumumkan pada 12 Feb.

“Terdapat juga ura-ura mengenai pakej rangsangan kerana kerajaan nampaknya menimbang untuk melancarkannya dalam keadaan global yang tidak menentu.

“Oleh itu, pasaran ekuiti sepatutnya diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan kemungkinan antara paras 1,540 dan 1,550 mata, apabila pasaran menunggu butiran terperinci dan perkembangan selanjutnya,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 23.43 mata kepada 1,554.49 daripada 1,531.06 sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 170.05 mata kepada 11,060.17 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 157.13 mata kepada 10,860.72.

Indeks FBM ACE menokok 144.56 mata kepada 5,521.78, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 213.51 mata kepada 11,766.21 dan FBM 70 naik 173.18 mata kepada 13,824.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 198.90 mata kepada 14,981.16, Indeks Perladangan naik 164.29 mata kepada 7,307.91 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.07 mata kepada 145.38.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.89 bilion unit bernilai RM12.74 bilion daripada 12.65 bilion unit bernilai RM11.05 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 9.75 bilion saham bernilai RM11.30 bilion daripada 8.31 bilion saham bernilai RM9.93 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.30 bilion unit bernilai RM367.05 juta daripada 1.77 bilion unit bernilai RM309.02 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 3.83 bilion saham bernilai RM1.06 bilion daripada 2.56 bilion saham bernilai RM804.78 juta. – MalaysiaGazette