Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Tahunan Liga Perlimen Untuk Al-Quds di One World Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Berikutan kemelut Palestin dan Israel yang tidak berkesudahan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan tiga pendekatan yang perlu diambil bagi membendung kemelut tersebut.

Anwar berkata langkah-langkah itu perlu bagi memastikan usaha menuntut kerangka penyelesaian jelas ke arah mengakhiri pertelagahan antara mereka.

“Kita sebagai pemimpin yang didokongi peruntukan perlembangan dan mendapat mandat rakyat, kita suarakan penegasan dan sokongan terhadap pergelutan dialami rakyat Palestin.

“Terus bekerjasama dengan masyarakat Muslim untuk cadangkan kepada mereka bagi mengakhiri pertelagahan antara Palestin dan Israel, isu-isu retorik harus ditolak, tindakan jelas bukan samar-samar kepada isu Palestin,” katanya dalam ucaptama Majlis Makan Malam Perpisahan sempena Persidangan Liga Parlimen Al-Quds Kali Ketiga, sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Penasihat Jawatankuasa Penganjur Persidangan Al-Quds, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam selepas merasmikan Persidangan Liga Parlimen Al-Quds kali ketiga turut menegaskan isu yang menimpa negara di Asia Barat itu lebih cenderung kepada soal ketidakadilan dan krisis kemanusiaan.

Dalam pada itu, Anwar turut menempelak masyarakat dunia yang diam membisu mengenai situasi yang berlaku di Palestin, kini.

Katanya, apa sahaja resolusi yang dimeterai hanya akan dipandang sepi sekiranya tiada tindakan diambil oleh mana-mana badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sedar atau tidak, sebenarnya dalam masyarakat kita kini dibelenggu masalah, iaitu kenapa kita benarkan resolusi demi resolusi dikhianati tentera rejim Israel dan mendapat sokongan AS.

“Oleh itu, terus gembleng tenaga dan usaha supaya perjuangan Palestin mendapat sokongan masyarakat antarabangsa, sekali gus memberi tekanan ke arah penyelesaian saksama bumi Islam ini,” katanya.

Nada itu sama dengan apa yang disuarakan Dr Mahathir yang mahu semua pihak membuka mata dan tidak menganggap isu penindasan yang membelenggu Palestin sejak sekian lama adalah berkaitan agama semata-mata.

“Tun Dr Mahathir juga sokongan perjuangan Palestin semalam,” kata Anwar. -MalaysiaGazette