Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan pihak atlet yang terlibat dengan Sukan Olimpik Tokyo dan mengenal pasti keperluan mereka dalam usaha melayakkan diri atau melakukan persiapan untuk temasya sukan itu.

“Kami telah bertemu beberapa kali dengan pasukan Azizulhasni Awang, Persatuan Badminton dan atlet terjun air kerana kami mahu memahami keperluan mereka.

“Betul, mereka mahukan satu belanjawan yang gila. Kami akan berusaha memenuhi permintaan mereka berdasarkan kemampuan supaya mereka dapat menyumbangkan pingat,” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Sinchew Daily.

Syed Saddiq berkata, dana daripada kementeriannya adalah lebih banyak berbanding sebelum ini.

Tambahnya, perkembangan atlet dalam latihan dan pertandingan pula dipantau secara bulanan.

Ditanya jumlah orang yang akan menyertai Olimpik, Syed Saddiq tidak mahu membuat spekulasi.

“Saya tidak mahu cakap pada masa ini, tetapi ada beberapa acara yang belum pasti, ia termasuk badminton dan atlet terjun air iaitu Cheong Jun Hoong yang baru pulih dan berusaha untuk mendapatkan tiket ke Olimpik.

“Karate pula mungkin masuk melalui wildcard,” katanya.

Beliau juga tidak mahu menyatakan atlet mana yang paling berpotensi untuk mendapat emas kerana ia tidak adil dan tidak menghormati atlet lain.

“Dengan latihan yang istimewa dan sokongan melalui dana yang besar, Azizulhasni Awang berpeluang besar.

“Selain itu, acara badminton dan terjun air juga boleh membawakan kejutan.

“Atlet terjun air bagaimanapun perlu mengharungi gergasi dari China manakala persaingan dalam badminton juga sengit,” katanya. – MalaysiaGazette