Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram.

KUALA LUMPUR – Saksi kelima kes pembelaan SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram ‘bertekak’ mengenai isu penggunaan bahasa sehingga suasana tegang di mahkamah hari ini.

Suara Sithambaram begitu tinggi nadanya seperti marah-marah namun kata beliau itulah caranya kerana tidak begitu fasih berbahasa kebangsaan.

Jamil Khir yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mahu pemeriksaan balas oleh pendakwaan dilakukan dalam Bahasa Malaysia manakala Sithambaram dari awal-awal sudah memberinya amaran.

“Saya boleh sahaja tanya soalan seperti yang anda (Jamil Khir) kehendaki, tapi maafkan saya ya, Bahasa Malaysia seperti 1960-an. Jadi, saya harap anda faham ya. Kadang-kadang nada saya tinggi tapi cara saya.

“Jika dalam Bahasa Inggeris, nada itu lain dan lebih menyenangkan. Tapi tidak apa, saya tanya dalam Bahasa Malaysia. Tiada masalah juga.

“Tadi, anda ambil sumpah dalam bahasa Inggeris juga, jadi pada tanggapan saya anda juga fasih berbahasa Inggeris, itu sahaja,” katanya ketika memulakan pemeriksaan balas sebentar tadi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bagaimanapun, Jamil Khir membalasnya dengan mengatakan dirinya lebih selesa dengan penggunaan Bahasa Malaysia untuk menjawab soalan kepadanya.

“Lagipun ini mahkamah Malaysia, lebih baik gunakan Bahasa Malaysia,” ujarnya sinis.

Kedengaran segelintir dalam galeri awam ketawa manakala Najib hanya tersenyum sahaja.

Dalam selang seli pertanyaan, Sithambaram menggunakan Bahasa Inggeris namun ditegur lagi Jamil Khir.

“Guna sahaja Bahasa Malaysia. Lagi senang saya faham soalan,” jelasnya.

Sithambaram meminta maaf dan sekali lagi mengingatkan beliau supaya tidak tersalah sangka seandainya nada itu tidak molek.

“Saya buat kerja saya, kamu buat kerja kamu Datuk. Jadi jangan salah faham ya,” kata Sithambaram lagi.

Apabila Sithambaram meninggikan suara dan kedengaran seperti menekan, Jamil Khir mengingatkan beliau bahawa dirinya dipanggil sebagai saksi dan bukan sebaliknya.

“Itulah, saya sudah cakap tadi. Jangan salah faham,” jawab Sithambaram.

Jamil Khir menjadi saksi bagi pembelaan kes penyelewengan bernilai RM42 juta yang melibatkan Najib dengan tujuh pendakwaan termasuk tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya. – MalaysiaGazette