Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. foto HAZROL ZAINAL, 11 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Satu Jawatankuasa Kerja Bersama yang diterajui Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia dan Singapura ditubuhkan bagi mengendalikan kes jangkitan Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV) di kedua dua negara tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, objektif penubuhan jawatankuqsa itu adalah bagi memperkukuhkan pelbagai usaha merentasi sempadan kedua-dua buah negara dan dipersetujui secara bersama.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu susulan perbincangan pegawai kanan Kementerian Kesihatan kedua-dua buah negara serta sidang video antara beliau dan Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong pada petang tadi.

“Perbincangan itu berkisar kepada situasi semasa kejadian jangkitan 2019-nCoV di kedua-dua negara serta langkah yang sewajarnya dilaksanakan bagi menangani kejadian jangkitan berkenaan khususnya melalui pengukuhan kerjasama sedia ada.

“Hasil perbincangan itulah dipersetujui jawatankuasa berkenaan akan diterajui oleh Timbalan Menteri Dr. Lee Boon Chye dan dan rakan sejawatnya di Singapura.

“Para pegawai kanan kesihatan dari kedua-dua negara ini akan bekerjasama meneruskan perbincangan dalam masa terdekat bagi mengenalpasti terma rujukan bagi Jawatankuasa Kerja Bersama,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan koronavirus hari ini.

Tambah beliau, fokus kerjasama dua hala itu adalah perkongsian maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan bagi memastikan penularan jangkitan koronavirus ditangani secara berkesan.

Selain itu, kerjasama dua hala itu juga menyentuh kepada saringan dan pengurusan kes rentas sempadan Malaysia-Singapura serta penyeragaman indikasi bagi penggunaan ubat antiviral kepada pesakit yang disahkan positif koronavirus, katanya.

Ujar beliau, kerjasama berkenaan juga komited dalam mengenalpasti pegawai yang bertanggungjawab di kedua-dua kementerian bagi tujuan komunikasi berkenaan pengurusan kes koronavirus dan pengesanan kontak rapat.

Ditanya sama kedua dua negara menghadapi masalah dalam mendapatkan bekalan ubat antiviral jangkitan koronavirus, kata Dzulkefly, buat masa ini Malaysia dan Singapura tidak berdepan sebarang masalah dan semuanya mencukupi serta terkawal. – MalaysiaGazette