Dr. Nungsari Ahmad Radhi (dua dari kiri) bersama pasukan Mavcom yang terlibat dalam Rekomendasi Jangka Panjang Mavcom terhadap Industri Penerbangan, Awam Malaysia yang dibentangkan hari ini.- Foto Mavcom

KUALA LUMPUR – Pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (Mavcom) menunjukkan kerajaan tidak selesa untuk melihat sebuah badan pengawal selia ekonomi bebas diwujudkan di negara ini.

Suruhanjaya tersebut dalam Rekomendasi Jangka Masa Panjang Mavcom Terhadap Industri Penerbangan Awam Malaysia 2021-2030 menjangkakan perkara yang sama turut dialami oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) apabila agensi tersebut diberi kuasa untuk memikul tanggungjawab yang kini ditanggung Mavcom.

“Mengikut prinsip urus tadbir yang baik, sebuah regulator ekonomi mesti diberi objektif yang jelas dan diberi ruang secukupnya untuk beroperasi secara autonomi mengikut akta yang telah diluluskan di Parlimen.

“Walaupun Menteri Pengangkutan menyatakan kementeriannya berhasrat untuk menjadikan CAAM sebuah badan regulator berautonomi yang mana bebas dari segi kewangan, masih belum jelas sama ada kuasa autonomi itu turut diperluaskan kepada aspek kebebasan CAAM untuk beroperasi secara bebas,” kata laporan tersebut.

Pada Disember tahun lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan Mavcom bagi membolehkan hanya CAAM sahaja berkuasa sebagai badan pengawal selia industri penerbangan awam di Malaysia.

Keputusan tersebut dibuat susulan tindakan Pentabiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menurunkan penarafan Malaysia kepada Kategori 2 pada November 2019.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr. Nungsari Ahmad Radhi semasa sidang media selepas pembentangan laporan berkenaan di ibu pejabat Mavcom hari ini berkata, semua penguatkuasaan undang-undang serta denda yang dikenakan oleh suruhanjaya itu masih sah selagi Mavcom masih belum dibubarkan secara rasmi.

Jelasnya, beliau sendiri tidak tahu bilakah Mavcom akan dibubarkan secara rasmi kerana proses tersebut melibatkan pemansuhan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) manakala Akta 788 pula akan dipinda bagi memasukkan fungsi terkini CAAM.

“Ia perlu dibawa ke Parlimen terlebih dahulu, saya tidak tahu bila.

“Tetapi segala penguatkuasaan, pemberian lesen penerbangan awam, penalti termasuk Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) masih sah dan perlu dipatuhi selagi suruhanjaya ini tidak dibubarkan secara rasmi.

“Ini kerana ia melibatkan proses pemansuhan undang-undang,” katanya.

Ketika ditanya sama ada syarikat penerbangan AirAsia dan AirAsia X sudah membayar denda masing-masing sebanyak RM2 juta akibat pelanggaran peraturan MACPC, Dr. Nungsari berkata, kedua-duanya masih belum menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat penerbangan murah itu masih mempunyai masa untuk menyelesaikan denda berkenaan kerana setiap kali Mavcom mengambil tindakan kepada sesebuah syarikat, suruhanjaya tersebut sentiasa memberikan tempoh masa yang mencukupi untuk mereka menyelesaikannya.

AirAsia dan AirAsia X didenda Mavcom kerana gagal mematuhi peraturan MACPC apabila mengenakan caj berasingan daripada tambang bagi penggunaan pembayaran dalam talian, kad debit dan kad kredit.- MalaysiaGazette