KUALA LUMPUR – Parti Putra Malaysia mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya memulakan prosiding penyiasatan di bawah Perkara 27 Perlembagaan Persekutuan untuk melucutkan kewarganegaraan pemimpin DAP Sarawak, Dr. Ting Tiong Choon.
Naib Persidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, beliau akan menulis surat secara rasmi kepada Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk proses itu dalam tempoh terdekat ini.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan melucutkan kelayakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut itu adalah permulaan kepada pembongkaran lebih banyak kes seumpama itu.
Kata beliau, mengikut Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Persekutuan boleh dengan perintah melucutkan kewarganegaraan seseorang yang memiliki dua kerakyatan, selain Malaysia.
“Kita menyambut baik keputusan mahkamah ini dan menunggu alasan penghakiman kes berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Kita berpandangan keputusan kes Dr. Ting semalam hanyalah permulaan kepada pembongkaran lebih banyak kes seumpamanya yang mungkin wujud di kalangan pemimpin parti politik,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan Putrajaya memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membuat keputusan betul dalam melucutkan kelayakan Dr. Ting sebagai ADUN Pujut berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.
Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2, dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa DUN mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan panel sembilan hakim termasuk Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah.
Hakim lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.
Mohd Khairul Azam yang juga seorang peguam berkata, walaupun keputusan mahkamah itu tidak menyentuh Perkara 24(1) Perlembagaan Persekutuan, namun pastinya rentetan daripada keputusan berkenaan, kerajaan telah dimaklumkan terbukti ada seorang warga negara Malaysia pada masa sama memiliki kewarganegaraan negara asing. – MalaysiaGazette
















