Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas meminta mufti dan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengemukakan pandangan terhadap pindaan hukuman pemandu mabuk sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian orang awam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini, Kementerian Pengangkutan hanya memfokuskan kepada beberapa pindaan melibatkan Seksyen 41 dan Seskyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu berkaitan hukuman denda serta penjara sahaja.

Pas percaya pandangan yang lebih holistik termasuk daripada perspektif Islam perlu diperhalusi kerana ia terkandung dalam aspek maqasid syariah dan penjagaan nyawa manusia, katanya.

“Pihak mufti dan Jakim boleh menawarkan cadangan berasaskan konteks yang lebih tepat. Contohnya, adakah pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam?

“Adakah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam dikenakan hukuman bunuh juga?

“Pandangan tersebut amat penting kerana kerana ia boleh menjadi asas pertimbangan terhadap pindaan akta nanti. Setakat ini, hampir semua pihak bersetuju cadangan hukuman yang lebih keras perlu dikenakan terhadap pemandu mabuk, cuma jenis hukuman yang masih menjadi perbahasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, Pas juga berpendapat satu kajian menyeluruh termasuk cadangan penggunaan instrumen kewangan insuran dan takaful sebagai ganti rugi (pampasan) perlu diberikan kepada pihak mangsa.

“Cuma, adakah perkara tersebut dibolehkan sebagai ganti bagi konsep diyat?

“Perkara ini perlu turut dibincangkan oleh pihak berautoriti dalam urusan agama seperti mufti dan Jakim,” ujarnya.

Sementara itu, katanya lagi, Pas juga mahu supaya pindaan akta tersebut dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat bulan depan dengan tidak ditangguhkan lagi kerana tempoh masa kajian sudah cukup panjang manakala, ia merupakan isu yang sangat mendesak. – MalaysiaGazette