Sebahagian dari 107 individu yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di negara ini dengan menaiki pesawat khas AirAsia di Air Disaster Unit (ADU), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto IQBAL BASRI, 04 EBRUARI 2020

SEREMBAN – Pihak berkuasa telah menyediakan perkhidmatan kaunseling melalui persidangan video kepada 113 orang yang sedang diasingkan selepas dibawa pulang dari Wuhan, China melalui penerbangan khas.

China Press melaporkan, selepas dipisahkan selama lebih seminggu, rasa kebimbangan dijangkiti virus dan kerinduan terhadap ahli keluarga telah menyebabkan sesetengah orang gelisah.

Untuk mengelakkan risiko jangkitan, pakar kaunseling tidak boleh bersemuka dengan mereka yang diasingkan selama 14 hari di Bangunan AKEPT di Negeri Sembilan, tetapi sesi bimbingan telah dijalankan melalui persidangan video.

Selain itu, mereka kadangkala juga dihidangkan makanan segera dari restoran francais.

Kawasan bangunan itu kini dikawal 24 jam oleh kira-kira 60 pegawai Kementerian Kesihatan, polis, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Setiap petugas perlu melalui pemeriksaan kesihatan dua kali sehari untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Semua orang yang diasingkan hanya boleh menerima makanan yang disediakan pihak berkuasa, walaupun ahli keluarga boleh menghantarkan buku kepada mereka.

Selain membaca, menonton drama dan bermain telefon pintar telah menjadi rutin untuk menghilangkan rasa bosan.

Menariknya, pihak berkuasa kadang-kala juga menyediakan “kejutan” dengan menghidangkan makanan segera daripada jenama popular seperti McDonald’s dan KFC.

Sumber memberitahu, makanan dihidangkan oleh petugas yang mengenakan pakaian perlindungan. Petugas juga perlu melalui proses nyahkuman selepas menghidangkan makanan. – MalaysiaGazette