Hossein Salami. foto Agensi

DUBAI – Iran bersedia untuk menyerang Amerika Syarikat (AS) dan Israel jika kedua-duanya membuat kesilapan.

Amaran itu dibuat oleh Ketua Pengawal Revolusi Elit Iran, Mejer Jeneral Hossein Salami pada hari ke-40 kematian Jeneral Qassem Soleimani.

Soleimani merupakan Ketua Pasukan Quds, sebuah cabang Pengawal Revolusi Elit Iran yang bertanggungjawab untuk operasi di luar Iran.

Beliau dibunuh dalam serangan dron oleh tentera AS di Lapangan Terbang Baghdad pada 3 Januari lalu bersama dengan komander Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis.

“Kalau anda membuat sedikit kesilapan, kami akan menyerang kedua-duanya,” kata Salami.

Pembunuhan Soleimani akan membawa kepada pembebasan Baitulmaqdis, menurut jurucakap Pengawal Resolusi Elit Iran yang dipetik oleh agensi berita Tasnim.

“Pembunuhan komandan Soleimani dan Abu Mahdi al-Muhandis oleh Amerika akan membawa pembebasan Baitulmaqdis dengan izin Tuhan,” kata Ramezan Sharif.

Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei minggu lalu berkata, Iran akan menyokong kumpulan bersenjata Palestin n dan mendesak rakyat Palestin menentang rancangan perdamaian Israel-Palestin yang dicadangkan oleh AS.

Presiden Donald Trump telah mengumumkan rancangan yang akan menubuhkan negara Palestin dengan keadaan yang ketat tetapi membenarkan Israel mengambil alih penempatan Yahudi lama di Tebing Barat yang diduduki.

Namun pemimpin Palestin menolaknya dengan menyifatkan rancangan itu berat sebelah terhadap Israel.

Semalam, stesen televisyen Iran menyiarkan wawancara dengan pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah, yang mana beliau menggambarkan hubungan rapat dengan Soleimani.

Beliau turut menonjolkan peranan penting Soleimani dalam membantu membina senjata roket Hezbollah serta peranannya dalam operasi ketenteraan semasa perang Hezbollah dengan Israel pada tahun 2006.

Ditubuhkan oleh Pengawal Revolusi Iran pada tahun 1982, kumpulan Lubnan Hezbollah adalah bahagian kritikal dalam pakatan tentera serantau yang disokong Iran.

Soleimani juga memainkan peranan penting dalam pertempuran Iraq terhadap IS, kata Nasrallah, dan meminta komandan operasi Hezbollah untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan Iraq dalam memerangi kumpulan militan di seluruh kawasan besar Iraq pada tahun 2014.

Secara berasingan, Soleimani menggesa rakyat Iran untuk menyokong Ayatollah Ali Khamenei dan mengatakan puak-puak politik harus mengetepikan perbezaan mereka.

Gesaan yang dibuat dalam wasiatnya itu yang dibacakan oleh Ketua Pasukan Quds yang baru, Brigadier Jeneral Esmail Ghaani di Tehran. – MalaysiaGazette