Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Program Sembang Santai Minum Pagi Bersatu Titiwangsa di Warung Pak Hasan Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan mengakui golongan belia negara ini kini berdepan dengan masalah pengangguran peluang pekerjaan, kos sara hidup dan pendidikan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, dapatan tiga masalah itu diperoleh hasil kajian politik yang dijalankan oleh pihaknya.

Susulan itu, kementeriannya sedang menyusun langkah untuk menangani tiga isu utama tersebut yang telah menyebabkan golongan belia seolah-olah tercicir di bawah arus pembangunan yang disusun oleh kerajaan.

“Baru-baru ini menjalankan semua jenis kajian politik dan mendapati tiga isu utama ini menghantui anak muda kita.

“Oleh itu, paling mustahak sekali kita cuba menyelesaikan masalah yang menghantui mereka ketika ini,” katanya.

Beliau memaklumkan untuk menangani isu pengangguran, kementerian itu akan melancarkan program Malaysia@Work pada suku kedua atau ketiga, yang akan mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan kepada anak muda.

Perkara ini sudah lama dibincangkan dalam Kabinet dan telah mendapat persetujuan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Kementerian Kewangan dan pelaksananya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Bersantai Pagi di sini.

Beliau berkata demikian selepas diminta menyatakan pandangan serta langkah-langkah yang disusun oleh kerajaan untuk golongan belia dan pemuda yang terjejas sekarang ini.

Syed Saddiq beliau juga akan bertemu dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) untuk mencari jalan bagi meringankan beban hutang golongan muda terutama dari keluarga B40 dan mereka yang mahu melanjutkan pendidikan tinggi.

“Penyelesaian perlu dicari. Insya Allah kabinet akan berbincang isu ini nanti memandangkan Pengerusinya, Wan Saiful sentiasa bersedia bekerjasama,” ujarnya.-MalaysiaGazette