azizi safar
Azizi Safar

KUALA LUMPUR – Semalam, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendedahkan Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam akan terus berfungsi sebagai empangan strategik menjamin bekalan air untuk Pulau Pinang tidak terjejas akibat kemarau.

Kata Guan Eng yang juga Menteri Kewangan, tujuan pembesaran Empangan Mengkuang  untuk memberi jaminan bahawa bekalan air kepada semua pelabur dan penduduk negeri itu tidak terjejas.

Malah Guan Eng dengan nada bangga berkata, ketika beliau menjadi ketua menteri dahulu, pihaknya ada buat perancangan mewujudkan satu rizab strategik air dan projek Empangan Mengkuang bukan sahaja memperluas empangan sebaliknya mewartakan kawasan berhampiran sebagai kawasan tadahan air.

Namun kenyataan itu seolah-olah mendapat sindirian oleh pemerhati politik, Azizi Safar yang juga merupakan antara pemimpin di Pulau Pinang.

Tulis Azizi dalam laman sosial Facebooknya, Guan Eng cuba mengambil ‘kredit’ atas usaha pihak lain.

“Guan Eng kata simpanan air Empangan Mengkuang cukup untuk Pulau Pinang walaupun dalam keadaan cuaca yang panas dan kering sekarang..

“Macam biasa, Guan Eng akan cuba ambil kredit di atas kejayaan usaha yang dimulakan oleh orang lain. Sejak bila Guan Eng jadi Menteri Air Pulau Pinang?

“Berbalik kepada kisah Empangan Mengkuang, nasib baik pemimpin negeri Pulau Pinang sebelum Guan Eng jadi Ketua Menteri Pulau Pinang dulu sudah terfikir untuk bina empangan strategik ini dan meningkatkan kapasitinya selepas itu.

“(Projek pembesaran Empangan Mengkuang diluluskan sebelum Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri Pulau Pinang pada 2008),” tulis Azizi.

Semalam Guan Eng berkata, perancangan itu memberi jaminan kepada semua pihak yang Pulau Pinang tidak akan melakukan catuan air meskipun pada musim kemarau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, air Empangan Mengkuang sudah mencapai kapasiti sebanyak 72 peratus.

“Saya telah difahamkan oleh (Datuk) Jaseni (Maidinsa) bahawa air di empangan ini mampu menampung segala keperluan air di Pulau Pinang sehingga akhir tahun,” katanya.

Dalam pada itu, kata Azizi lagi, setahu beliau projek Guan Eng untuk Pulau Pinang ialah adalah terowong bawah dasar laut.

“Tetapi hingga ke hari ini belum nampak lagi pintu masuk dan keluar terowong itu,” ujarnya.

Mengikut maklumat Wikipedia, Empangan Mengkuang merupakan empangan air terbesar di Pulau Pinang dan telah dibuka pada tahun 1985.

Empangan itu mempunyai keluasan 3.9km persegi dan menampung jumlah takungan air sebanyak 23.6 billion liter pada masa kini. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. senang je kira air dalam tasik pakai sifir. air laut pun boleh kira berapa ribu trilion liter agaknya.

Comments are closed.