Saksi yang juga bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Rayyan Radzwill Abdullah didakwa pernah mengugut Tan Sri Madinah Mohamad untuk mendedahkan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor dan suaminya kepada pembangkang berhubung perolehan projek solar hibrid di Sarawak.

Madinah yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan mendakwa ia berlaku sekitar tahun 2017 hingga 2018.

Rayyan membuat ugutan itu ketika membuat gesaan kepada Madinah yang ingin bertemu Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Berkata kepada Mahkamah Tinggi, Madinah mendakwa Rayyan ingin merampas projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak daripada rakan kongsinya iaitu Pengarah Urusan dan Pemegang Saham Utama Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

“Antara bulan Oktober atau November 2017 dan Mei 2018 Rayyan telab menghantar mesej yang begitu banyak kepada saya melalui Whatsapp sehingga saya tidak memberi perhatian sangat. 

“Daripada mesej-mesej tersebut saya mendapati Rayyan telah berselisih faham dengan Saidi dan Rayyan berusaha untuk merampas kontrak projek solar hibrid daripada Saidi,” katanya lagi.

Rayyan memaklumkan kepada Madinah yang Saidi menipu wang beberapa pihak selain mengubah kontrak asal projek solar tersebut sehingga mengakibatkan kedua-dua rakan kongsi itu berselisih faham.

“Rayyan juga mendakwa Saidi telah melakukan pelbagai kesalahan dalam projek solar hibrid seperti mengubah terma-terma kontrak asal untuk projek solar hibrid, membuat tuntutan palsu dan menipu wang beberapa pihak dengan kenggunakan projek tersebut.

“Tujuan Rayyan memberitahu saya perkara tersebut adalah supaya membantunya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri (Najib ketika itu) bagi tujuan merampas kontrak projek solar daripada Saidi dan Jepak.

“Rayyan juga memberitahu saya beliau akan membongkarkan penglibatan ‘PM’ (Najib) dan ‘mem’ (Rosmah) dalam urusan perolehan kontrak projek itu kepada pembangkang sekiranya saya tidak membantunya,” tambahnya yang turut memaklumkan tidak melayan permintaan Rayyan itu.

Madinah merupakan saksi keenam pendakwa pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan Rosmah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette