Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Sesuatu yang dianggap agak luar biasa terjadi ketika perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Prosiding yang sudah masuk hari ke-80 pagi ini terpaksa ditangguhkan sehingga Isnin depan berikutan ‘aduan’ pihak pembelaan melibatkan saksi ketujuh, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nasharudin Amir yang hanya mahu memberikan keterangan di kandang saksi sahaja.

Walhal pasukan pembelaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula mahu bertemu dengan Mohd Nasharudin dan menemubual saksi itu terlebih dahulu namun pegawai SPRM itu enggan berbuat demikian.

Sepatutnya pasukan peguambela bertemu dengan Mohd Nasharudin dalam satu pertemuan pada Sabtu lepas namun pegawai itu enggan bertemu sebaliknya hanya mahu memberikan keterangan di perbicaraan terbuka sahaja.

Mohd Nasharudin juga merupakan antara pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menyiasat kes SRC International sebelum ini.

Ini menyebabkan pasukan peguambela dan pendakwaan berbalas hujah berhubung isu tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali lebih setengah jam manakala Mohd Nasharudin pula sedia menanti di bilik saksi sejak jam 9 pagi.

Muhammad  Shafee kemudian bangkit memohon kepada Mohd Nazlan agar menggunakan kuasa mahkamah untuk ‘memaksa’ Mohd Nasharuddin seandainya perlu supaya pihak mereka dapat menemubual saksi terlebih dahulu.

“Kami mahu menemubual saksi terlebih dahulu. Ini juga pra-syarat bagi mendapatkan satu perbicaraan yang adil saksama. Lagipun adalah satu kecuaian seandainya kami tidak dapat berbual dengannya terlebih dahulu, ini boleh menyebabkan ‘kehancuran’ dalam kes ini kelak.

“Kami sebenarnya lebih daripada berhak untuk menemubual saksi supaya dapat mengumpulkan bukti lebih relevan, ini juga memastikan tidak ada apa-apa yang ‘mengarut’ ketika perbicaraan kelak.

“Saya mohon supaya mahkamah dapat mengeluarkan arahan tegas untuk saksi yang juga merupakan seorang penjawat awam yang sepatutnya sedar tanggungjawab beliau supaya dapat memberikan kerjasama bagi satu perbicaraan adil,” katanya lagi.

Bagaimanapun, ketua pendakwaan merangkap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas pula bangkit ‘membela’ saksi sambil berkata itu adalah haknya sama ada mahu ditemubual mahupun terus memberikan keterangan dari kandang saksi.

“Saksi tidak mahu ditemubual. Ini adalah situasi di mana Yang Arif boleh berkata, saksi boleh melantik peguamnya sendiri. Sebenarnya, saksi ini di luar kepentingan bagi pendakwaan mahupun pembelaan,” tegasnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sitahmbaram juga bangun melahirkan rasa kesalnya kerana saksi sudah menunggu dengan begitu lama di bilik saksi namun tidak dipanggil lagi.

Mohd Nazlan kemudian memutuskan untuk mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak pada Isnin depan sebelum membuat keputusan untuk ‘memaksa’ saksi ditemubual oleh pasukan peguambela atau tidak.

Hari itu juga, mahkamah juga akan mendengar permohonan Najib untuk mendapatkan rakaman audio dari SPRM yang dipercayai berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan yang berkaitan dengan dana SRC. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Banyak perkara pelik dlm perbicaraan DSN ni…Byk sgt perkara di luar kebiasaan berlaku macam nk mengelak dari memberitahu kebenaran..

Comments are closed.