KUALA LUMPUR – Kemewahan hidup pasangan suami isteri warga tempatan yang memiliki barangan kemas dan wang tunai lebih setengah juta ringgit akhirnya terbongkar selepas mereka ditahan polis disyaki mengedar dadah di sebuah kondominium di Taman Mastiara, Jalan Ipoh, Batu 5 di sini, 12 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata pihaknya menahan suspek lelaki berumur 33 tahun di Batu 4, Jalan Ipoh, dan merampas dadah disyaki syabu seberat 250 gram dianggar bernilai RM10,000 dan wang tunai RM8,000 daripada beg silang suspek.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut ke atas suspek membawa polis ke sebuah kondominium di Taman Mastiara dan menahan seorang suspek wanita berumur 32 tahun.

“Kami menyerbu kondominium itu dan merampas dadah disyaki ketamin seberat 1.13 gram dianggar bernilai RM170 di bilik kondominium berkenaan.

“Selain itu, kami juga merampas antaranya 23 bentuk cincin, 21 utas rantai leher dan tujuh utas gelang tangan yang dianggarkan bernilai RM213,820,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata pihaknya juga merampas wang tunai RM323,219, dua kereta jenis Nissan Sentra dan Volkswagen Passat serta motosikal jenis Yamaha LC dan Yamaha Nouvo LC, yang kesemuanya bernilai RM54,500.

Beliau berkata suami suspek didapati positif dadah manakala isterinya negatif dan direman tujuh hari sehingga esok.

Shanmugamoorthy berkata hasil siasatan juga mendapati kedua-dua suspek bergiat aktif dalam pengedaran dadah selama enam bulan di sekitar Sentul dan Lembah Klang.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala jumlah keseluruhan rampasan dadah boleh dibekalkan kepada 250 pengguna dadah dalam satu masa,” katanya.- BERNAMA