Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) diiringi Ketua Setiausaha KBS, Datuk Waitchalla R.R.V. Suppiah (tiga kiri) memotong reben pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu IYC di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman enggan mengulas ura-ura pembentukan kerajaan Pakatan Nasional yang dikaitkan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan alasan mahu memberi fokus kepada permasalahan golongan belia.

Ketau Armada Bersatu dan Menteri Belia dan Sukan menegaskan perkara itu ketika ditanya wartawan sama ada beliau menyokong atau tidak terhadap pembentukan Pakatan Nasional yang mengaitkan kerajaan campuran Pas-UMNO dan Bersatu.

Tanpa menjawab terus pertanyaan itu, beliau berpendirian sebagai pemimpin yang mewakili anak muda di negara ini beliau mahu menyelesaikan permasalahan asas mereka terlebih dahulu.

“Saya yakin majoriti anak muda semua ingin melihat masalah asas mereka diselesaikan dahulu, so mari kita fokus itu masalah asas mereka itu dulu,” katanya selepas merasmikan Bangunan Baharu Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Syed Saddiq, pihaknya kini menyasarkan kira-kira 300,000 peluang pekerjaan untuk anak muda iaitu Malaysia@Work dan ia sudah dibentangkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di kabinet dan telah pun dipersetujui semua jemaah menteri.

“Manakala terlebih dahulu, dana sebesar RM6.5 bilion sudah diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan selepas Perdana Menteri memberi lampu hijau meneruskan program itu.

“Banyak isu yang kita perlu lakukan iaitu paling dekat dengan hati anak muda, lets focus pada isu core. Dalam tempoh terdekat, bulan April atau Mei ini akan mula rolling out program ini. seperti saya tekankan isu pekerjaan adalah isu utama dalam kalangan anak muda.

“Malaysia kerja, graduan kerja, wanita muda lepas bersalin, industri TVET juga akan dibincangkan tentang dana sebaik mungkin dapt dijadikan jalan penyelesaian isu pengangguran anak muda,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette