Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diiringi Menteri Industri Utama, Teresa Kok (tiga kiri) di Majlis Pelancaran Program Biodiesil B20 Sektor Pengangkutan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin penggunaan biodiesel B20 tidak akan mendatangkan masalah kepada enjin kenderaan bersandarkan data-data saintifik yang telah diperolehi.

Malah menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, penggunaan biodiesel yang terdiri daripada campuran 20 peratus metil ester sawit (PME) dan 80 peratus diesel petroleum itu terbukti dapat mengurangkan pelepasan debu dan asap hitam ke udara.

“Saya yakin Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan akan berjalan dengan lancar dan akan mewujudkan permintaan baru untuk bekalan minyak sawit yang tinggi dalam negara mulai tahun 2020.

“Akhir sekali, rakyat Malaysia harus berbangga dengan produk biodiesel sawit sendiri yang kini digunakan sebagai sumber tenaga mampan yang boleh diperbaharui dan memberi sumbangan dalam menangani perubahan iklim dunia,” katanya semasa berucap melancarkan program biodiesel B20 di sektor pengangkutan di sini hari ini.,”

Tambah Dr. Wan Azizah, Indonesia telah melaksanakan program biodiesel B20 secara mandatori semenjak Januari 2016 dan mensasarkan pelaksanaan Program B30 di sektor pengangkutan dan industri pada tahun 2020 dengan agenda utama bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import diesel.

Justeru, beliau menyeru supaya Malaysia juga harus berani menggandakan penggunaan biodiesel sawit bagi mengukuhkan industri sawit dan ekonomi negara.

Ujarnya, pembangunan mampan dan berterusan industri sawit negara juga akan membantu 650,000 pekebun kecil sawit.

Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan dilaksanakan secara berfasa bermula di Langkawi dan Labuan Januari lalu.

Proses menaik taraf depoh pengadunan biodiesel dengan syarikat-syarikat petroleum sedang dijalankan. -MalaysiaGazette