Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Darell Leiking menurunkan tandatangan sebagai gimik Pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dijangka menyumbang sehingga RM104.2 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu kenyataan berkata, unjuran sumbangan berkenaan adalah selaras dengan jangkaan jumlah pengeluaran sejumlah 1.47 juta kenderaan dan jumlah jualan (TIV) 1.22 juta kenderaan menjelang 2030.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena pelancaran NAP 2020 hari ini oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

NAP 2020 turut menyasarkan sehingga 323,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Unjuran jumlah peluang pekerjaan itu adalah hampir sekali ganda lebih tinggi berbanding NAP 2014 iaitu dengan 177,520 pekerjaan

Bagi tempoh 2020 hingga 2030, sektor pengeluaran automotif bakal mewujudkan peluang pekerjaan tertinggi iaitu 128,000 pekerjaan; diikuti mobiliti sebagai perkhidmatan (MaaS) dengan 75,000 pekerjaan; internet untuk segalanya (IoT) sebanyak 44,000 pekerjaan; perkhidmatan selepas jualan (46,000 pekerjaan) dan robotik (30,000 pekerjaan).

Sasaran pewujudan pekerjaan dalam MaaS dan robotik adalah sektor terbaharu yang diberi penekanan dalam NAP 2020.

Selain itu, dasar automotif yang memberi penekanan kepada Kenderaan Generasi Baharu (NxGV); Maas dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) terutama dalam bidang pengeluaran, akan mengangkat sektor automotif sebagai ‘ibu segala industri’ dalam ekonomi negara. – MalaysiaGazette